Pasir Gudang, 5 Mac 2026 – Program Simfoni Ramadan: Bubur Lambuk Santun Komuniti telah berjaya dilaksanakan di Advanced Technology Training Centre (ADTEC) JTM Kampus Pasir Gudang pada 5 Mac 2026.
Program ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Surau Al Mawaddah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang sebagai salah satu pengisian sempena bulan Ramadan bagi menyemarakkan semangat kebersamaan serta amalan bersedekah dalam kalangan warga kampus.
Program ini melibatkan aktiviti gotong-royong memasak bubur lambok yang disertai oleh para pelajar dan pengajar ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang. Sebanyak tiga periuk besar bubur lambuk telah dimasak secara bergotong-royong dalam suasana penuh muafakat dan semangat kerjasama.
Yang Berusaha Ts. Dr. Hj. Azli Amin bin Ahmad Raus, Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang turut hadir dan turun padang bersama warga kampus dalam menjayakan program tersebut. Kehadiran beliau mencerminkan komitmen pihak pengurusan dalam mengimarahkan aktiviti kebajikan serta penghayatan nilai Ramadan dalam kalangan warga institusi.
Bubur lambok yang dimasak kemudiannya diagihkan kepada beberapa agensi dan komuniti sekitar Pasir Gudang sebagai tanda penghargaan dan santunan Ramadan, antaranya:
- Kementerian Kesihatan Malaysia – Klinik Kesihatan Pasir Gudang
- Polis Diraja Malaysia – Balai Polis Pasir Gudang
- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia – Balai Bomba Pasir Gudang
- Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG)
- Bank Simpanan Nasional (BSN) Pasir Gudang
- Masjid Ittihad Air Biru
- Persatuan Kebajikan Darul Hanan
- Rumah Hallo Prihatin Anak Yatim
Inisiatif ini bukan sahaja dapat memupuk semangat kebajikan, malah mengeratkan lagi hubungan antara ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dengan masyarakat serta agensi setempat.
Program ini diharap dapat terus menjadi platform dalam menyemai nilai ukhuwah, memperkukuhkan semangat gotong-royong serta menyuburkan budaya kebajikan dalam kalangan warga institusi, selaras dengan aspirasi melahirkan modal insan yang seimbang dari segi intelek, emosi dan rohani.
