Pasir Gudang, 5 April – Kelab Sukan dan Kebajikan ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai (KSDK) telah menerima sumbangan penghargaan daripada Persatuan Pelayang Johor dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Banquet Hall, Aras 3, Menara Aqabah, di sini hari ini.
Sumbangan tersebut diberikan sempena penganjuran Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang 2026 sebagai tanda terima kasih dan penghormatan atas penglibatan, sokongan serta kerjasama yang telah diberikan oleh ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai dalam menjayakan festival berkenaan yang berlangsung dari 4 hingga 8 Februari lalu.
Majlis penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Persatuan Pelayang Johor, YB Dato’ Hj A. Rahim bin Hj Nin kepada En Mohd Qayyum bin Mohd Khalid yang hadir bersama En Muhamad Faizul bin Arshad wakil dari pengurusan ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai.
Sumbangan ini merupakan simbol penghargaan terhadap komitmen tinggi yang telah ditunjukkan oleh pihak ADTEC JTM dalam memastikan kelancaran program bertaraf antarabangsa tersebut. Kerjasama erat antara agensi latihan kemahiran dan organisasi komuniti seperti Persatuan Pelayang Johor dilihat mampu memperkukuh jaringan strategik serta memartabatkan penganjuran acara pelancongan dan rekreasi di negeri Johor.
Setinggi-tinggi penghargaan atas pengiktirafan yang diberikan dan berusaha memberikan komitmen berterusan untuk menyokong program-program komuniti serta acara berimpak tinggi pada masa akan datang.
