Senai, 4 Mac 2026 – Program Symphony Ramadan : Bubur Lambuk Perdana 2026 telah berjaya dilaksanakan dengan penuh semangat kebersamaan di ADTEC JTM Kampus Senai. Program ini merupakan anjuran Jawatankuasa Surau Al Mawaddah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai bersempena penghayatan bulan Ramadan al-Mubarak.
Pelaksanaan program ini bertujuan menyemarakkan budaya gotong-royong, memperkukuhkan ukhuwah serta menyantuni warga kampus melalui aktiviti kebajikan. Antara pengisian utama ialah aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk yang melibatkan penyertaan aktif pelajar dan staf daripada kedua-dua kampus. Lebih menarik lagi, aktiviti ini turut disertai oleh Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai,YBrs Ts Dr Hj Azli Amin Bin Ahmad Raus
Kerjasama yang ditunjukkan mencerminkan semangat kekitaan serta komitmen tinggi warga ADTEC dalam menjayakan program berbentuk kemasyarakatan dan keagamaan.
Selain itu, turut diadakan Majlis Khatam Al-Quran sebagai salah satu pengisian rohani dalam memuliakan bulan Ramadan. Majlis tersebut menjadi simbol kesungguhan warga kampus dalam mendekatkan diri kepada Al-Quran serta memperkukuhkan pembangunan sahsiah dan spiritual dalam kalangan pelajar dan staf.
Program ini diharap dapat menjadi platform berterusan dalam memupuk perpaduan, menyemai nilai murni serta mengimarahkan institusi melalui aktiviti keagamaan dan kebajikan. Penganjuran seumpama ini juga selari dengan aspirasi melahirkan modal insan yang seimbang dari segi intelek, emosi dan rohani.
