7 Januari 2026 – Satu Taklimat Pengungsian Bangunan dan Latihan Kebakaran (Fire Drill) telah dijalankan di ADTEC JTM, Kampus Pasir Gudang. Program ini merupakan salah satu aktiviti penting sempena Minggu Suai Kenal Pelajar Baharu Sesi 1/2026, yang bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar berkaitan prosedur keselamatan semasa berlaku kecemasan seperti kebakaran.
Taklimat keselamatan dimulakan pada waktu siang dan telah disampaikan oleh Cik Siti Suraya Hani binti Mohd Juar, Ketua Unit Emergency Response Team (ERT). Beliau telah menerangkan langkah-langkah pengungsian bangunan yang betul, peranan setiap individu dalam situasi kecemasan serta kepentingan mengetahui laluan kecemasan. Taklimat ini disusuli dengan demonstrasi penggunaan alat pemadam api yang dikendalikan oleh En Mohammad Ridzuan bin Kasnaini, Pegawai Insiden yang berpengalaman.
Latihan pengungsian bangunan telah dilaksanakan tepat jam 12.00 tengah malam, di mana siren amaran dibunyikan semasa pelajar sedang berehat dan mereka perlu bergegas meninggalkan asrama dan menuju ke tempat berkumpul yang ditetapkan. Pelaksanaan simulasi kecemasan yang realistik ini adalah perlu untuk memastikan para pelajar mempunyai kefahaman dan kesiapsiagaan yang baik sekiranya berlaku kecemasan yang sebenar.
Latihan ini turut dipantau oleh dua orang pegawai dari Balai Bomba Pasir Gudang iaitu En Mohammad Faez bin Rahmat dan En Mohamad Norazizee bin Mohd Zulkiflee, yang hadir sebagai pemerhati serta pasukan ERT ILPPG dan barisan warden asrama yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan latihan. Secara keseluruhan, latihan berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Melalui latihan ini, pelajar dapat memahami kepentingan bertindak pantas, tenang dan mengikut arahan semasa berlakunya kecemasan. Program seperti ini bukan sahaja meningkatkan tahap kesedaran keselamatan dalam kalangan pelajar, tetapi juga membantu mewujudkan persekitaran kampus yang lebih selamat dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
