07-2544170 , Fax: 07-2511910 adtecjtmpg@jtm.gov.my

PASIR GUDANG, 9 Mac 2026 – Surau ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang telah menganjurkan program Tarawih Bersama Alumni pada malam Isnin, 9 Mac 2026 bersamaan 19 Ramadan 1447H, bertempat di Surau ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang bermula jam 8.30 malam.

Program yang dianjurkan oleh Biro Kerohanian Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang ini bertujuan mengeratkan ukhuwah antara pelajar, warga kampus serta alumni di samping mengimarahkan bulan Ramadan dengan ibadah solat sunat tarawih secara berjemaah.

Solat tarawih pada malam tersebut telah diimamkan oleh alumni ILPPG 2018, Saudara Nazif, yang juga dikenali sebagai vokalis kumpulan qasidah semasa pengajiannya dahulu. Manakala tugas bilal telah dipimpin oleh seorang lagi alumni iaitu Saudara Zulfikri, Tokoh Pelajar 2018.

Kehadiran kedua-dua alumni ini telah memberikan suntikan semangat kepada para pelajar untuk terus mendekatkan diri kepada Allah SWT serta mencontohi kejayaan dan sahsiah baik alumni institusi.

Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pelajar dan warga kampus yang hadir memeriahkan suasana ibadah di surau pada malam tersebut. Selain menunaikan solat tarawih berjemaah, program ini juga menjadi platform mengeratkan silaturrahim antara alumni dan generasi pelajar yang sedang menuntut di ADTEC.

Pihak penganjur berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu usaha memupuk budaya keagamaan serta memperkukuh hubungan ukhuwah dalam kalangan warga ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang.

Skip to content