07-2544170 , Fax: 07-2511910 adtecjtmpg@jtm.gov.my

4 Mei 2026, PASIR GUDANG – Satu inisiatif pengubahsuaian kelas telah berjaya dilaksanakan oleh tenaga pengajar bersama – sama pelajar – pelajar daripada Bahagian Teknologi Pembuatan Perkakasan (Die) dalam usaha mentransformasikan ruang pembelajaran teori kepada konsep ‘KELAS KITA’. Projek yang diinspirasikan oleh Pengarah kampus, Ts. Dr. Hj Azli Amin Bin Ahmad Raus ini bertujuan untuk menyuntik elemen berimej korporat dan profesional, selaras dengan standard industri pembuatan berketepatan tinggi yang menjadi teras utama bidang pengajian ini.

Tujuan utama pengubahsuaian ini adalah untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif, sekali gus melahirkan budaya kerja profesional di kalangan pelajar. Penggunaan elemen warna biru korporat dan putih bukan sahaja memberikan identiti visual yang kemas, malah mencerminkan disiplin dan ketelitian yang diperlukan dalam bidang pembuatan.

Perubahan fizikal yang dilaksanakan merangkumi penyusunan semula meja kuliah mengikut prinsip ‘Susun’ dan ‘Seragam’ bagi memastikan ruang aliran kerja yang lebih praktikal. Dinding aksen dengan motif geometri moden memberikan sentuhan futuristik, manakala pemilihan langsir rona biru gelap membantu mengurangkan silau bagi penggunaan projektor semasa sesi pembentangan reka bentuk grafik atau CAD. Dari segi estetika, ruang ini kini kelihatan lebih luas dan eksklusif, meningkatkan lagi nilai profesionalisme sesebuah institusi TVET.

Transformasi ini memberikan impak positif yang nyata terhadap motivasi pelajar dan pensyarah. Dengan suasana kelas yang lebih segar dan teratur, pelajar didapati lebih fokus dan bersemangat dalam mendalami modul pembuatan perkakasan yang kompleks. Persekitaran yang mempraktikkan amalan EKSA secara konsisten ini membantu meningkatkan tahap fokus pelajar dan memudahkan proses pengajaran dijalankan dalam keadaan yang lebih teratur dan selamat.

Secara dasarnya, projek ‘KELAS KITA’ ini adalah bukti komitmen Bahagian Teknologi Pembuatan Perkakasan (Die) dalam menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih kondusif. Adalah diharapkan agar transformasi ini dapat diteruskan dengan integrasi teknologi pintar seperti Smart TV dan sistem automasi ringan bagi menyokong inovasi pengajaran. Usaha penjenamaan kelas ini diharapkan menjadi perintis kepada lebih banyak inovasi ruang pembelajaran yang dinamik dan kompetitif di masa hadapan.

Skip to content