Johor Bahru, 7 Februari 2026 – Seramai 40 orang pelajar dan pegawai dari ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai telah menyertai Program Gerak Kasih Pusara iaitu gotong-royong perdana pembersihan di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, Johor Bahru dengan kerjasama Dewan Teraju Perniagaan Bumiputera Negeri Johor.
Program ini dianjurkan sebagai inisiatif tanggungjawab sosial institusi dalam memupuk semangat kesukarelawanan, nilai empati serta kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan dan kesucian tanah perkuburan Islam.
Pelaksanaan program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai bersama Dewan Teraju Perniagaan Bumiputera Negeri Johor, yang mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkukuh jaringan institusi dan komuniti melalui aktiviti berimpak tinggi. Kolaborasi ini bukan sahaja memanfaatkan masyarakat setempat, malah membuka ruang sinergi yang lebih luas dalam pembangunan sahsiah dan kepimpinan belia.
Turut hadir, Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai, YBrs. Ts. Dr. Haji Azli Amin bin Ahmad Raus yang menzahirkan sokongan padu terhadap penglibatan warga ADTEC dalam aktiviti kemasyarakatan. Kehadiran beliau menyuntik semangat kepada para peserta untuk terus aktif menyumbang bakti kepada masyarakat.
Program ini turut disertai oleh Dato’ Ismail bin Karim, Presiden Dewan Teraju Perniagaan Bumiputera Negeri Johor, sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh hubungan kerjasama antara institusi latihan kemahiran dan organisasi perniagaan Bumiputera di negeri Johor.
Sepanjang program berlangsung, para peserta telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan kawasan, merapikan lot kubur serta memastikan persekitaran berada dalam keadaan teratur dan selamat. Semangat kerja berpasukan dan komitmen tinggi yang ditunjukkan jelas mencerminkan nilai murni yang diterapkan dalam kalangan pelajar ADTEC.
Program seperti ini bukan sahaja mendekatkan pelajar dengan masyarakat, malah membentuk graduan yang holistik, berakhlak dan bertanggungjawab. ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai komited untuk terus memperluas kerjasama bersama rakan strategik seperti Dewan Teraju Perniagaan Bumiputera Negeri Johor dalam melaksanakan program pembangunan komuniti secara berterusan.
Semoga penglibatan dalam Program Gerak Kasih Pusara ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif kesukarelawanan pada masa hadapan serta memperkukuh hubungan erat antara institusi pendidikan dan komuniti setempat.
