Pasukan Robot ILP Pasir Gudang telah menyertai Pertandingan Robot Tempur Beregu Malaysia 2023 kali pertama yang diadakan pada 19 – 20 November 2023 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Pasukan Robot ILP Pasir Gudang bergabung dengan Pasukan Robot ILP Mersing menggunakan nama ‘Pirates’ untuk edisi pertandingan kali ini. Tahniah diucapkan kepada pasukan atas usaha dan semangat juang yang dipamerkan walaupun hanya berjaya ke peringkat separuh akhir.
Pertandingan ini bertujuan untuk menarik minat masyarakat terutama golongan muda terhadap STEM khususnya dalam bidang robotik dengan penglibatan pelbagai institusi pengajian tinggi serta institut kemahiran. Konsep pertandingan memerlukan setiap pasukan mengaplikasikan ilmu pengetahuan bidang teknologi tanpa wayar dalam mengawal pergerakan robot dan reka bentuk robotik bagi menghasilkan robot tempur secara praktikal yang kreatif dan berinovasi.