Perhimpunan pelajar bersama Pengarah telah berlangsung buat kali pertama bagi sesi ini bermula pada jam 8.00 pagi. Dimulakan dengan nyanyian Lagu Rasmi dan bacaan doa, Bacaan Ikrar Rukun Negara telah diketuai oleh Presiden Majlis Perwakilan Pelajar, Sdr. Muhammad Syafiq bin Mohd Yusof.
Seterusnya bacaan petikan Buku Peraturan Tatatertib Pelajar ILJTM oleh Sdr. Mohamad Amrizal bin Mohd Jumain dan petikan tersebut diulas oleh En. Redha Anwar bin Mohamad, Penolong Pegawai Belia dan Sukan yang menerangkan peraturan berkenaan larangan menghisap/membawa/memiliki serta menyimpan rokok dan rokok elektronik di dalam kawasan institut.
Taklimat Kaunselor ILP Pasir Gudang, Puan Hajah Edayu binti Mohd Yusof kali ini adalah mengenai aplikasi kauseling yang sangat efisien bagi pelajar memberi maklumbalas berkenaan masalah-masalah mereka secara maya. Majlis diteruskan dengan Taklimat PPE yang disampaikan oleh Jawatankuasa Latihan KKP ILP Pasir Gudang, Ts Dr. Dayangku Suraya Binti Awang Jafar. Taklimat PPE ini diakhiri dengan slot kuiz keselamatan yang dijalankan melalui platform quiziz.
Kemudian tibalah giliran YBrs. Ts Dr. Alina binti A. Rahman @ Othman, Pengarah ILP Pasir Gudang memberikan ucapan dan amanat. Puan pengarah menyatakan beliau berbesar hati menghadiri perhimpunan ini. Beliau juga memberi saranan kepada para pelajar agar menjaga tingkah laku dalam menjamin sesi pembelajaran di ILP Pasir Gudang lancar dan lebih berkesan. Puan Pengarah mengingatkan agar pelajar mematuhi segala peraturan terutamanya berkenaan rokok dan rokok elektronik.
Dalam sesi ucapan itu juga, Puan Pengarah telah membuka ruang bagi pelajar menyatakan hasrat atau aduan. Isu seperti keluar bermalam telah diajukan oleh para pelajar dan telah dijelaskan oleh puan pengarah bagi penyelesaian isu tersebut. Para pelajar diminta untuk membuat permohonan rasmi yang berkaitan melalui Majlis Perwakilan Pelajar yang telah dilantik. Puan Pengarah telah bersetuju untuk memberi kelulusan sekiranya pihak pelajar membuat akujanji mematuhi peraturan institut.
Diakhir perhimpunan telah diadakan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar ILP Pasir Gudang bagi tahun 2025 dan bacaan Ikrar MPP yang diketuai oleh Sdr. Muhammad Syafiq bin Mohd Yusof. Perhimpunan bersurai pada jam 10.15 pagi.
