Pada 29 April 2025, satu program motivasi bertajuk “Bersinar Kembali: Sesi Inspirasi Alumni ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang telah diadakan bertempat di Surau Al-Mawaddah. Program ini bertujuan untuk menyuntik semangat dan memberikan dorongan positif kepada para pelajar terpilih agar terus berusaha memperbaiki diri dan mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.
Program ini telah menjemput Saudara Sahadam Bin Adam, seorang alumni ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dari jurusan Kimpalan sesi 2017. Beliau kini merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya dan juga pempengaruh media sosial yang dikenali ramai. Kehadiran beliau sebagai penceramah telah memberi impak yang besar kepada para pelajar yang hadir, terutamanya apabila beliau berkongsi kisah hidupnya yang penuh cabaran dan usaha gigih untuk bangkit hingga berjaya.
Dalam sesi perkongsiannya, Saudara Sahadam menekankan tentang pentingnya memiliki keyakinan diri, disiplin dan keazaman untuk berubah. Beliau juga menekankan bahawa setiap individu berhak mendapat peluang kedua, dan terpulang kepada diri sendiri untuk membina masa depan yang lebih cerah. Gaya penyampaian beliau yang santai, mesra dan penuh inspirasi menjadikan sesi ini sangat menarik dan mudah dihayati oleh pelajar.
Para pelajar yang hadir menunjukkan respon yang positif dan dilihat lebih terbuka serta bersemangat selepas sesi berlangsung. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa sebagai salah satu usaha membimbing pelajar ke arah pembentukan sahsiah yang lebih baik serta memberi inspirasi melalui tokoh yang pernah melalui laluan yang sama seperti mereka.
Secara keseluruhannya, program “Bersinar Kembali” telah berjaya mencapai objektifnya dan menjadi satu titik permulaan yang bermakna dalam usaha membimbing dan membina jati diri pelajar ke arah kejayaan.
