07-2544170 , Fax: 07-2511910 info.ilppg@jtm.gov.my

Pada 6 Mei 2025 yang lalu, satu program Alumni Motivation Talk telah berjaya dianjurkan bertempat di Surau Al-Mawaddah, ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang. Program ini telah menampilkan saudara Muhammad Firdaus Bin Daling sebagai penceramah jemputan. Beliau merupakan bekas pelajar dalam bidang Teknologi Pembuatan (Perkakasan DAI) sesi 2/2011 yang kini bergiat aktif sebagai usahawan berjaya.

Matlamat utama program ini adalah untuk memberikan kesedaran kepada para pelajar mengenai pentingnya ilmu kemahiran dalam kehidupan dan masa depan mereka. Selain itu, program ini juga diadakan sebagai usaha membendung gejala negatif yang sering berlaku dalam kalangan pelajar seperti kemurungan, sikap malas dan sambil lewa dalam menuntut ilmu.

Dalam ceramah selama satu jam setengah itu, saudara Muhammad Firdaus telah berkongsi kisah perjalanannya menimba ilmu semasa berada di ADTEC Pasir Gudang. Beliau menyatakan bahawa selain mendapat ilmu teknikal, beliau juga mendalami ilmu agama dan kepimpinan hasil daripada penglibatan aktif dalam aktiviti di surau kampus. Melalui pendedahan tersebut, beliau mula berminat dalam bidang perniagaan dan akhirnya berjaya menubuhkan dua buah syarikat iaitu Miragold Sdn Bhd dan Airgas Marketing Sdn Bhd.

Beliau turut menitipkan beberapa nasihat penting kepada para pelajar, antaranya ialah kepentingan berada dalam circle atau kelompok rakan yang positif, menetapkan matlamat hidup yang jelas, dan berusaha mengubah gaya hidup ke arah yang lebih baik. Pesanan beliau itu sangat memberi kesan kepada para pelajar yang hadir dan mampu membuka mata mereka tentang potensi diri yang masih boleh digilap.

Kesimpulannya, program Alumni Motivation Talk ini telah mencapai objektifnya dalam memberi inspirasi dan motivasi kepada para pelajar. Perkongsian daripada bekas pelajar yang pernah melalui laluan yang sama telah memberi semangat baharu kepada pelajar untuk lebih berusaha dan percaya pada kebolehan diri. Program seperti ini wajar diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu inisiatif pembangunan sahsiah dan kerjaya pelajar.

Skip to content