07-2544170 , Fax: 07-2511910 info.ilppg@jtm.gov.my

Pasir Gudang, 8 Mei – ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dengan kerjasama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) telah menganjurkan Program Perkongsian Inisiatif dan Insentif Latihan Industri di bawah inisiatif Ilham Kesuma, bertujuan memperkukuh kerjasama strategik antara industri dan institusi latihan teknikal.

Program ini menampilkan sesi pembentangan oleh Puan Siti Noratikah binti Kasmoi, Naib Presiden merangkap Ketua Unit Fasilitasi Latihan Industri TalentCorp, yang memperkenalkan Program Latihan Industri Berstruktur Nasional (MySIP) – satu inisiatif penting yang menyediakan insentif kepada syarikat industri yang menawarkan tempat latihan industri kepada pelajar.

Melalui MySIP, pelajar dapat memperoleh pendedahan awal kepada dunia pekerjaan, seterusnya meningkatkan kebolehpasaran graduan tempatan. Turut diperkenalkan ialah platform MyNext, yang menyediakan kemudahan penilaian kerjaya, pembangunan resume dan padanan latihan industri secara dalam talian.

Program ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh tuan Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang, Ts Dr Hj Azli Amin bin Ahmad Raus dan telah dihadiri oleh seramai 36 wakil industri telah menghadiri program ini, termasuk dari syarikat EEW Malaysia, MMHE, Kaifa Technology, Serimax Welding Services, Bunge Loders Croklaan Oils dan Grand Banks Yachts. Pegawai-pegawai CESS dari ADTEC Batu Pahat, Tangkak dan Mersing turut serta dalam sesi perkongsian ini.

Dalam masa yang sama, Bengkel Persediaan Kerjaya telah dilaksanakan, melibatkan seramai 219 pelajar dari ADTEC Pasir Gudang, Senai, Mersing, Tangkak dan Batu Pahat yang bakal menjalani latihan industri pada sesi 2/2025 dan 1/2026. Bengkel ini dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan fasilitator daripada TalentCorp.

Penganjuran program ini diharap dapat menggalakkan lebih banyak penyertaan industri dalam menyediakan latihan berkualiti, serta memperkukuh jaringan kerjasama dengan institusi TVET selaras dengan aspirasi negara dalam pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.

Skip to content