Pasir Gudang, 9 Mei 2025 – Bahagian Operasi ILP Pasir Gudang telah menganjurkan Perhimpunan Bulanan Kakitangan Bil. 2/2025 bertempat di Dewan Kuliah Utama, ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang. Majlis dimulakan seawal jam 9.00 pagi dengan ketibaan kakitangan diikuti oleh kehadiran Pengarah dan barisan pengurusan tertinggi pada jam 9.30 pagi. Majlis telah dimulakan dengan bacaan al-Fatihah kepada Allahyarham En. Muhamad Hilmi b. Padllah @ Padil yang telah kembali ke rahmatullah pada 8 Mei 2025. Majlis kemudiannya diteruskan dengan nyanyian Lagu Bangsa Johor, Lagu Negaraku dan Lagu Korporat JTM serta Lafaz Ikrar Rukun Negara yang telah diketuai oleh En. Mohamad Rizie bin Ahmad, Pen. Pengarah BPPA. Majlis diteruskan dengan bacaan doa yang telah dipimpin oleh Tuan Haji Noorazam bin Yaakob..
Pengerusi majlis menyampaikan kata alu-aluan sebelum taklimat berkaitan perkhidmatan disampaikan oleh En. Muhammad Farid bin Muslan, Pen. Pegawai Tadbir dan taklimat penarafan ADTEC JTM oleh Ts. Kavitha A/P Palaniappan, Penolong Pengarah Bahagian Kawalan Kualiti Latihan (BKKL). Taklimat diteruskan dengan Slot kesihatan mental bertajuk “Work Life Balance” oleh Cik Zainurany binti Iyni (Kaunselor Pelatih UNIMAS) yang memberikan input berguna berkaitan keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan peribadi.
Majlis diteruskan dengan ucapan dan amanat yang telah disampaikan oleh YBrs. Ts. Dr. Hj. Azli Amin bin Ahmad Raus, Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Kampus Senai. Dalam ucapan tersebut, beliau menekankan kepentingan perhimpunan staf sebagai wadah menyemai nilai dan memperkukuh semangat dalam kalangan warga kerja, terutama dalam dunia TVET yang mencabar. Beliau turut menghargai slot kesihatan mental yang disampaikan, dan menyeru semua warga kerja membina budaya kerja yang sihat serta saling menyokong.
Beliau juga mengingatkan tentang penilaian penarafan ADTEC JTM Terbaik 2025, yang akan merujuk kepada pencapaian tahun 2024 sebagai asas penilaian utama. Selain itu, beliau menjelaskan perkembangan penjenamaan semula seluruh ILJTM di bawah Kolej Teknologi Termaju (ADTEC JTM) yang melibatkan penyusunan semula perjawatan dan pelaksanaan program diploma secara menyeluruh. Beliau turut menyentuh usaha pengukuhan Kluster Perkhidmatan Kejuruteraan melalui cadangan kursus rintis, pembangunan kemahiran baharu serta mobilisasi tenaga pengajar. Dalam menyokong pembangunan kemahiran belia, beliau menggalakkan penyertaan dalam Pertandingan World Skills Malaysia Belia 2025 sebagai platform untuk menunjukkan keupayaan dalam pelbagai disiplin. Ucapan beliau turut menyentuh tentang Pelan Pendigitalan JTM yang bertujuan mempertingkat operasi jabatan melalui penggunaan teknologi terkini seperti Smart Campus dan Smart Classroom. Akhir sekali, beliau menyeru agar warga kerja sentiasa menitikberatkan kesihatan fizikal dan mental melalui penglibatan dalam aktiviti sihat seperti Fun Run atau program kesihatan berkala.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Sijil Pengiktirafan kepada Tenaga Pengajar Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR), Pelantikan Pengerusi Kokurikulum serta simbolik penyerahan bendera Misi Kinabalu.
Diharapkan majlis seperti ini akan terus menjadi wadah pemangkin kepada budaya kerja yang positif, produktif dan inklusif selaras dengan aspirasi dan hala tuju institusi.
