Pada 12 hingga 13 Mei 2025, satu inisiatif berbentuk pembangunan sahsiah dan pembinaan daya ketahanan diri telah dilaksanakan melalui Ekspedisi Menawan Gunung Kinabalu, yang melibatkan penyertaan seramai enam orang kakitangan ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Kampus Senai.
Ekspedisi ini bertujuan untuk meningkatkan kesihatan fizikal dan kecergasan mental dalam kalangan warga kerja, selain ia juga sebagai platform mengukuhkan hubungan antara peserta serta membina semangat kerjasama dan disiplin dalam suasana yang mencabar.
𝐒𝐨𝐫𝐨𝐭𝐚𝐧 𝐄𝐤𝐬𝐩𝐞𝐝𝐢𝐬𝐢
𝟏𝟐 𝐌𝐞𝐢 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Pendakian bermula di Timpohon Gate, dengan laluan menuju ke Panalaban Base Camp sejauh lebih 6 kilometer. Sepanjang laluan berbatu dan bertangga curam, peserta diasak dengan cabaran cuaca, perubahan altitud, dan keletihan yang melampau. Namun, bukan fizikal semata yang diuji tetapi mental, emosi, dan semangat setiakawan turut dicanai. Ia telah menguji ketahanan semua peserta, namun kesemua mereka menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang pendakian.
𝟏𝟑 𝐌𝐞𝐢 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Sekitar jam 3.00 pagi, dengan suhu menjejah 9°C pendakian ke puncak Kinabalu bermula. Keadaan suhu serta jalan yang licin, curam dan berbatu menjadikan setiap meter sebuah perjuangan. Setiap pendaki perlu sampai di Check Point Sayat-sayat pada atau sebelum jam 5.30 pagi bagi bolehkan pendaki meneruskan pendakian ke puncak Kinabalu. Alhamdulillah pendaki kumpulan kami tiba di check point Sayat-sayat jam 4.40 pagi.Ketibaan di Low’s Peak sekitar jam 6.30 pagi didahului oleh En.Qayyum, En.Farid dan En.Wahid , seterusnya pada jam 7.00 pagi Pn.Norhedayah dan Pn. Hazalinda, manakala Pn. Eza tiba di puncak pada jam 7.15 pagi . Ketibaan 6 orang pendaki ini menandakan misi utama ekspedisi ini telah berjaya. Menawan puncak tertinggi di Malaysia yang berketinggian 4,095 meter dari aras laut bukan lagi satu khayalan.
Kejayaan ini merupakan satu pencapaian membanggakan yang menggambarkan kesungguhan, perancangan rapi serta keupayaan peserta mengharungi tekanan fizikal dan mental dalam persekitaran ekstrem. Disini tersembunyi kekuatan luar biasa yang hanya terserlah apabila diuji.
𝐆𝐮𝐧𝐮𝐧𝐠 𝐭𝐞𝐥𝐚𝐡 𝐝𝐢𝐭𝐚𝐰𝐚𝐧.
