ADTEC Kampus Pasir Gudang telah menyertai program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) anjuran Kementerian Komunikasi yang berlangsung di Taman Mewah, Kulai, Johor.
Penyertaan ADTEC dalam program ini merupakan sebahagian daripada usaha mempromosikan institusi pendidikan dan latihan teknikal kepada golongan belia, serta memperkenalkan pelbagai program kemahiran yang ditawarkan. Program NANBA menghimpunkan agensi kerajaan, institusi latihan dan komuniti belia bagi memperkukuh hubungan serta menyemai semangat patriotisme dalam kalangan anak muda.
Sepanjang program, ADTEC Kampus Pasir Gudang telah membuka reruai pameran di bawah penyelarasan Tc. Megat Mohamad Faizar B. Abdul Wahab, yang turut memberikan penerangan kepada pengunjung berkenaan peluang latihan kemahiran, pembangunan kerjaya, serta inisiatif kerajaan dalam memperkasakan modal insan teknikal negara. Sambutan yang diterima daripada pengunjung amat menggalakkan dan menunjukkan minat tinggi terhadap pendidikan TVET sebagai laluan kerjaya masa hadapan.
