07-2544170 , Fax: 07-2511910 info.ilppg@jtm.gov.my

Sempena sambutan Hari Belia 2025, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ADTEC Pasir Gudang melalui Biro Kerohanian dan Biro Disiplin telah menganjurkan dua program utama bertemakan pembinaan sahsiah dan kesedaran kesihatan dalam kalangan pelajar.

1. Gema Doa Belia: Solat Hajat & Yasin Perdana

Program ini telah berlangsung dengan penuh penghayatan pada malam 15 Mei 2025 bertempat di Surau Al-Mawaddah. Ia bertujuan memohon keberkatan dan kejayaan pelajar serta memperkukuhkan kekuatan rohani dan jati diri belia Muslim dalam mendepani cabaran masa kini.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan diteruskan dengan Solat Hajat secara berjemaah, melibatkan kehadiran para pelajar serta staf akademik dan sokongan. Kehadiran yang memberangsangkan menggambarkan semangat kebersamaan dalam memohon pertolongan dan petunjuk daripada Allah SWT.

2. “#BeliaTolakBinasakanDiri”: Tazkirah & Rondaan Kesedaran

Serentak dengan program kerohanian, satu lagi inisiatif telah digerakkan dengan nama “#BeliaTolakBinasakanDiri”. Program ini menyasarkan usaha meningkatkan kesedaran tentang bahaya rokok, vape, pedem dan dadah dalam kalangan belia kampus.

MPP bersama Biro Disiplin telah menjalankan rondaan bilik ke bilik (dorm to dorm) sambil menyampaikan tazkirah santai berkenaan larangan merosakkan diri dari perspektif Islam dan sains kesihatan. Pendekatan mesra ini turut diserikan dengan kuiz spontan yang mencuit minda dan semangat pelajar, dengan hadiah menarik menanti mereka yang berjaya menjawab.

Kedua-dua program tersebut diakhiri dengan jamuan santai ‘sekampung’ di Surau Al-Mawaddah, melambangkan perpaduan dan penghargaan kepada para peserta. Sambutan hangat yang diterima membuktikan bahawa warga belia ADTEC Pasir Gudang bukan sahaja komited membina sahsiah unggul, malah bersedia menolak anasir negatif yang boleh merosakkan masa depan.

Skip to content