07-2544170 , Fax: 07-2511910 info.ilppg@jtm.gov.my

Pasir Gudang, 19 Mei 2025 – Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor dengan kerjasama ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang telah menganjurkan Program Pendidikan Pengundi Tinggi (Voter Education Training – VET) bertempat di Dewan Kuliah Utama, ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang. Program ini merupakan kesinambungan inisiatif Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dalam usaha mendidik dan mempersiapkan warganegara muda Malaysia menjadi pengundi celik demokrasi menjelang pilihan raya akan datang.

Seramai 400 pelajar daripada ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang telah mengambil bahagian dalam program yang berlangsung dari jam 2.30 petang hingga 4.50 petang itu. Para peserta merupakan pelajar berumur 18 tahun ke atas yang bakal menjadi pengundi baharu dalam proses demokrasi negara.

Program VET bertujuan memberikan penerangan yang komprehensif berkaitan proses pilihan raya, tanggungjawab sebagai pengundi, serta kepentingan penyertaan dalam sistem demokrasi. Ia turut menyentuh aspek integriti pilihan raya dan langkah-langkah pendaftaran pengundi secara automatik seperti yang dilaksanakan sejak tahun 2021.

Tuan Haji Mohammad Zaidad bin Abdul Samat, Timbalan Pengarah Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor (PPNJ) telah menyampaikan taklimat berkenaan kaedah dan suasana pilihan raya yang dijalankan di negara ini. Selain dari taklimat, simulasi pilihan raya juga diadakan bagi menggambarkan keadaan sebenar pilihan raya kepada para pelajar. Sebelum bersurai Encik Mohd Azhar Bin Nasaruddin dan Puan Siti Nur Rasyadah binti Mustapha Kamal, dari Unit Latihan PPNJ turut mengendalikan sesi soal jawab yang interaktif melalui aplikasi Kahoot. Para pelajar menunjukkan minat dan respons yang sangat positif terhadap topik yang dibincangkan. 5 orang peserta yang mendapat mata tertinggi telah diberikan hadiah yang menarik.

Pengarah ADTEC JTM Pasir Gudang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak SPR atas inisiatif mendekati golongan muda serta berharap program seumpama ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa dalam mendidik warganegara yang bertanggungjawab dan berpengetahuan.

Dengan pelaksanaan program ini, SPR berharap setiap lapisan warganegara menerima maklumat yang benar dan tepat mengenai proses pilihan raya agar dapat melahirkan pengundi yang matang, beretika dan celik demokrasi.

Skip to content