Senai, 19 Mei 2025 – Surau, ADTEC JTM Kampus Senai telah menjadi saksi kepada program “Jejak Pewaris: Inspirasi Dari Alumni”, satu sesi perkongsian yang menyentuh hati dan menyemarakkan semangat pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan.
Program ini menampilkan Saudara Muhammad Amir bin Rosli, alumni ADTEC Pasir Gudang dari Batch 1/2023, Kursus Teknologi Rekabentuk Produk Industri. Dalam perkongsian yang jujur dan menyentuh jiwa, beliau mengimbau kembali kisah suka duka sepanjang menuntut di ADTEC, termasuk cabaran akademik dan kehidupan sebagai anak daripada keluarga yang sederhana.
Menurut beliau, pada awalnya kursus yang diambil bukanlah pilihan hati. Namun, beliau belajar memupuk minat dalam bidang tersebut dan akhirnya menemui hala tuju hidupnya. Sepanjang pengajian, beliau giat aktif dalam aktiviti kampus, memegang pelbagai peranan penting termasuk sebagai Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Ahli Jawatankuasa Surau, serta Tokoh Maulidur Rasul Bengkel dan Tokoh Kecemerlangan Pelajar.
Kini, Saudara Muhammad Amir berkhidmat sebagai pembantu jurutera di sebuah industri di Skudai. Beliau menyatakan rasa bangga sebagai produk ADTEC Pasir Gudang, dan berkongsi bagaimana nilai dan pengalaman semasa belajar dahulu menjadikannya rujukan dalam kalangan rakan sekerja walaupun di alam pekerjaan.
Dalam pesanan akhirnya, beliau menegaskan kepada para pelajar supaya tidak memandang rendah terhadap bidang Teknologi Rekabentuk Produk Industri. Katanya, walaupun sering dianggap tidak popular dan kurang masa depan, sebenarnya bidang ini sangat luas dan penuh potensi jika diterokai dengan kesungguhan.
Program ini telah memberi inspirasi besar kepada para pelajar untuk melihat masa depan mereka dengan lebih yakin, dan menyedari bahawa kejayaan bukan hanya milik mereka yang bermula dengan cemerlang, tetapi juga bagi mereka yang tidak pernah putus asa.
