07-2544170 , Fax: 07-2511910 info.ilppg@jtm.gov.my

Pasir Gudang, 19 Mei 2025 – Surau Al-Mawaddah, ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang telah menjadi lokasi penganjuran Ceramah Perdana bertemakan “Belia Pewaris Ummah ~ Cabaran Aqidah Era Digital”. Ceramah ini menampilkan Ustaz Muhammad Ariff bin Haron, Pengetua Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam Al-Tahfiz Al-Hikmah, Johor, sebagai penceramah jemputan.

Program yang berlangsung dengan jayanya ini telah menghimpunkan pelajar, warga kampus dan masyarakat setempat untuk bersama-sama mendalami peranan penting belia dalam mempertahankan aqidah di era teknologi yang serba mencabar. Dalam ucapannya, Ustaz Muhammad Ariff menekankan lima asas kejayaan belia sebagai pewaris ummah, iaitu:

  1. Ilmu – sebagai panduan hidup,
  2. Ikhlas – dalam niat dan amal,
  3. Ibadah – sebagai kekuatan rohani,
  4. Sabar dan kekuatan – dalam menghadapi dugaan hidup, dan
  5. Zikir serta selawat – sebagai penghubung hati dengan Allah SWT.

Lebih mengujakan, beliau turut berkongsi kisah inspirasi seorang individu yang beliau kenali sendiri, iaitu Saudara Muhammad Zuhairi bin Zulkifli, alumni ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang, batch 2018. Beliau merupakan bekas pelajar jurusan Kimpalan yang kini aktif membangunkan belia di daerah Mersing melalui pelbagai program kemasyarakatan dan keagamaan, di samping mengusahakan perniagaan kimpalannya sendiri.

Menurut Ustaz Muhammad Ariff, kejayaan saudara Zuhairi adalah hasil daripada bimbingan para guru serta didikan berterusan yang diterima semasa berada di ADTEC, khususnya melalui pengisian rohani dan tarbiah di Surau Al-Mawaddah. Kisah ini menjadi bukti nyata bahawa pembentukan sahsiah belia bermula dari pendidikan yang holistik, merangkumi ilmu akademik dan nilai spiritual.

Program ini bukan sahaja memberi pencerahan kepada hadirin, malah menyemarakkan iltizam untuk terus menjadikan ADTEC sebagai tapak membina belia cemerlang dari aspek ilmu, iman dan amal.

Skip to content