07-2544170 , Fax: 07-2511910 info.ilppg@jtm.gov.my

21 Mei 2025 – Dua program telah berlangsung dengan jayanya pada 21 Mei 2025 bertempat di Surau Al-Mawaddah, ADTEC Pasir Gudang, iaitu “Voices of Hope – Dreams of Malaysia” dan “Program Laluan ALUMNI”. Kedua-dua program ini bertujuan membina sahsiah, memperkasa jati diri serta menyuntik inspirasi dalam kalangan pelajar.

“Voices of Hope – Dreams of Malaysia”: Luahan Aspirasi Belia

Program “Voices of Hope – Dreams of Malaysia” membuka ruang kepada pelajar untuk mengekspresikan pandangan dan harapan mereka terhadap masa depan negara melalui pidato yang penuh semangat dan patriotik.

Antara harapan yang dizahirkan oleh peserta termasuklah isu keterjaminan makanan, peningkatan kos sara hidup, perpaduan masyarakat, pemeliharaan tanah rizab Melayu, keperluan politik yang matang, pemerkasaan ekonomi belia, serta impian agar Malaysia menjadi sebuah negara yang sihat dan sejahtera.

Program ini bukan sahaja membina keyakinan diri dan kemahiran komunikasi pelajar, tetapi turut menjadi platform membina kesedaran sosial serta semangat cintakan negara.

Program Laluan ALUMNI: Kisah Kejayaan Yang Menginspirasikan

Dalam slot “Program Laluan ALUMNI”, ADTEC Pasir Gudang menampilkan Saudara Hafizul Aqif Bin Md Hairudin, bekas pelajar dalam bidang Teknologi Elektrik, sebagai panel jemputan khas. Program ini memfokuskan kepada pelajar yang menghadapi cabaran disiplin dan motivasi.

Beliau berkongsi pengalaman peribadi termasuk perjalanan kerjayanya yang kini berkhidmat di sebuah firma antarabangsa dari Jerman. Dalam ucapannya, beliau menekankan pentingnya ketekunan dalam belajar, daya tahan menghadapi kesusahan, serta mengamalkan nilai-nilai murni dan amal soleh dalam kehidupan.

Kedua-dua program ini mencerminkan usaha berterusan ADTEC Pasir Gudang dalam membentuk pelajar sebagai individu holistik – bukan sahaja mahir secara teknikal, tetapi juga matang, beretika dan patriotik dalam membina masa depan Malaysia.

Skip to content