Pada hari ini, 22 Mei 2025, seramai 12 orang ahli rombongan dari Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Negeri Johor (DTUBNJ) bersama Akademi Teraju Johor telah mengadakan lawatan rasmi ke ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang. Lawatan ini diketuai oleh Yang Berbahagia Datuk Abd Latif bin Bandi Timbalan Presiden II DTUBNJ.
Turut hadir dalam rombongan ini adalah wakil-wakil dari Biro Pelaburan dan Hartanah DTUBNJ, Biro Automotif dan Pengangkutan DTUBNJ dan Koperasi DTUBNJ Johor Berhad.
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk membincangkan potensi kolaborasi strategik antara Adtec JTM Kampus Pasir Gudang dan DTUBNJ, terutamanya dalam memperkasa pembangunan kemahiran tenaga kerja Bumiputera serta meneroka peluang kerjasama dalam bidang pelaburan, automotif dan keusahawanan industri.
Pihak Adtec JTM Kampus Pasir Gudang telah diketuai oleh Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang & Senai, Ts. Dr. Hj. Azli Amin bin Ahmad Raus, bersama-sama dengan Pengarah Uji JTM, Hjh Noor Lisa Rahmat. Selain sesi perbincangan, rombongan turut dibawa melawat ke beberapa fasiliti latihan utama kampus, termasuk Bengkel Automotif (menampilkan teknologi terkini dalam sistem kenderaan dan latihan penyelenggaraan automotif moden serta EV) dan Bengkel Pemesinan CNC (dilengkapi dengan mesin berketepatan tinggi untuk latihan dalam bidang pemesinan dan kejuruteraan mekanikal).
Lawatan ini telah membuka ruang kerjasama yang luas antara pihak DTUBNJ dan ADTEC JTM dalam pelbagai bidang, khususnya bagi melahirkan tenaga mahir tempatan yang memenuhi kehendak industri serta memperkukuhkan jaringan antara institusi latihan dan pemain industri Bumiputera.
Perbincangan yang berlangsung berjalan dengan lancar dan produktif, dengan komitmen kedua-dua pihak untuk meneruskan langkah susulan dalam menjayakan pelan tindakan bersama demi pembangunan ekonomi Bumiputera Negeri Johor selaras dengan penubuhan Majlis Penbangunan Bakat Johor (JTDC).
