Johor Bahru, 25 Mei 2025 – Seramai 60 pelajar termasuk pegawai pengiring dari ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang telah menyertai Program Sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Negeri Johor 2025 yang berlangsung dengan meriah di Toppen Shopping Centre, Johor Bahru.
Program anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Johor ini telah diadakan pada hari Ahad, 25 Mei 2025 dari jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang, dengan pelbagai pengisian menarik termasuk pameran, aktiviti interaktif, sukan rakyat, e-sukan, dan penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN).
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Mohd Hairi bin Md Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Keusahawan dan Koperasi Negeri Johor. Turut hadir ialah Dato’ ‘On bin Jabbar @ Ja’afar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Belia, Sukan dan Sukarelawan) dan Puan Azura binti Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara. Majlis turut diserikan dengan penyampaian APBN bagi kategori Individu Lelaki, Individu Wanita dan Pertubuhan Belia.
Penyertaan aktif ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dalam program ini membuktikan komitmen institusi dalam menyokong pembangunan sahsiah dan kepimpinan belia sejajar dengan aspirasi “Malaysia MADANI”.
