07-2544170 , Fax: 07-2511910 info.ilppg@jtm.gov.my

Pasir Gudang, 29 Mei 2025: Bahagian Pengurusan Pelajar & Latihan (BPPL), ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai telah menganjurkan Majlis Apresiasi bagi meraikan para pelajar tahun semester akhir sesi 1/2025 yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tempoh latihan mereka.

Majlis ini menjadi platform untuk menghargai usaha gigih para pelajar serta memberi pengiktirafan kepada individu yang telah mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik, kokurikulum, sahsiah, dan kepimpinan. Antara acara yang menceriakan majlis termasuk persembahan pelajar, tayangan multimedia bertajuk “Cerita Kita”, serta penyampaian anugerah khas seperti Anugerah Pelajar Terbaik Bahagian dan Anugerah Tokoh Gemilang Pelajar.

Turut memeriahkan majlis ialah kehadiran Ts. Dr. Hj. Azli Amin bin Ahmad Raus, Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Kampus Senai bersama barisan pengurusan, Penolong-penolong Pengarah, Ketua-ketua Bahagian dan juga Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kampus Pasir Gudang dan Kampus Senai.

YBrs. Ts. Dr. Azli Amin bin Ahmad Raus turut menyampaikan ucapan dan amanat kepada para pelajar. Dalam ucapannya beliau memaklumkan bahawa seramai 216 orang pelajar diraikan pada hari ini, 86 orang memilih untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, 50 orang telah berjaya mendapat peluang pekerjaan, manakala 80 orang akan menjalani latihan industri. Menurut beliau, ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan dan membuktikan bahawa pelajar-pelajar kita bersedia untuk melangkah ke dunia sebenar dengan yakin dan berdaya saing.

Beliau juga berharap agar segala ilmu, kemahiran dan nilai yang telah dipelajari sepanjang tempoh latihan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam kehidupan selepas tamat latihan.

Acara turut dimeriahkan dengan penyampaian Anugerah King & Queen, cabutan bertuah dan sesi fotografi yang merakamkan detik-detik manis sebagai kenangan abadi buat para pelajar.

Majlis ini mencerminkan komitmen institut dalam membentuk graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam kemahiran teknikal, tetapi juga memiliki nilai kepimpinan dan integriti yang tinggi. Semangat yang ditunjukkan dalam majlis ini jelas menggambarkan bahawa ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang terus melangkah ke hadapan dalam melahirkan tenaga kerja berdaya saing selaras dengan aspirasi negara.

Skip to content