Pasir Gudang, 4 Jun 2025 – Institut Latihan Perindustrian di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM) terus komited dalam membentuk pelajar holistik menerusi pelaksanaan program pembangunan sahsiah dan kerohanian, antaranya menerusi penganjuran program JANAZAH TOUCH: The Workshop on Sacred Cleansing yang telah berlangsung di Surau Al-Mawaddah, ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang.
Program yang disertai oleh semua pelajar Semester 1 ini memberi fokus kepada latihan amali pengurusan jenazah, melibatkan aspek memandikan jenazah menggunakan model sebenar serta bahan tradisional seperti air kapur barus, air cendana, akar sintok dan daun bidara. Pendekatan realistik ini membolehkan peserta memahami secara menyeluruh amalan fardu kifayah yang amat penting dalam komuniti Islam.
Fasilitator terlatih yang juga daripada kalangan pelajar seniur diberi peluang bagi memastikan penyampaian ilmu lebih dekat dengan jiwa pelajar, sambil menyuntik unsur kepimpinan, empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan peserta.
Program turut menampilkan sesi soal jawab interaktif, sebagai platform untuk pelajar mengukuhkan kefahaman dan mengajukan persoalan berkaitan pengurusan jenazah secara praktikal. Sambutan positif serta penglibatan aktif pelajar menggambarkan kesedaran tinggi terhadap kepentingan ilmu akhirat di samping pembelajaran teknikal yang ditekuni.
Menariknya, program ditutup dengan jamuan Roti John hasil air tangan para pelajar senior, yang secara tidak langsung mengukuhkan nilai ukhuwah dan budaya kerja berpasukan dalam kalangan pelajar pelbagai semester.
Surau Al-Mawaddah sekali lagi membuktikan peranannya sebagai medan ilmu seimbang – siangnya menyuburkan kemahiran teknikal, malamnya pula menyemai ilmu keagamaan dan kerohanian. Inisiatif sebegini seiring dengan visi ADTEC dan JTM dalam melahirkan modal insan seimbang dari aspek intelek, sahsiah dan spiritual.
Program JANAZAH TOUCH ini diharapkan menjadi satu titik mula dalam membentuk pelajar bukan sahaja sebagai tenaga kerja mahir, tetapi juga sebagai pemimpin masyarakat yang berilmu, berakhlak dan bersedia menyumbang kepada ummah.
