11 JUN 2025 | Hari TVET Negara 2025 merupakan sambutan tahunan yang diadakan bagi mengiktiraf peranan penting Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam pembangunan modal insan dan ekonomi negara.
Sambutan ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan TVET sebagai laluan utama dalam pembangunan kerjaya, bukan lagi sebagai pilihan kedua.
Selaku antara institusi utama TVET di Malaysia, ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang | Senai tidak ketinggalan meraikan sambutan ini dengan pelbagai program menyeluruh dan inklusif yang akan berlangsung selama dua hari, iaitu pada 11 hingga 12 Jun 2025.
Tirai Hari TVET Negara Peringkat ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang | Senai dimulakan dengan Forum Alumni, yang memberi ruang kepada bekas pelajar berkongsi pengalaman dan kejayaan mereka dalam bidang kemahiran dan kerjaya profesional. Forum sebegini diharap dapat memberikan inspirasi kepada pelajar tentang potensi bidang TVET.
Pada 11 Jun 2025, Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Haji Jaafar bin Haji Leman, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri Agensi KESUMA Negeri Johor. Beliau menekankan bahawa TVET kini menjadi komponen penting dalam strategi pembangunan negara dan wajar dijadikan pilihan utama dalam membina kerjaya.
Sebagai simbolik kepada keazaman untuk meletakkan keselamatan dan kesihatan sebagai keutamaan di tempat kerja, rumah dan dalam kehidupan seharian, majlis diselitkan dengan lafaz Ikrar Integriti Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Inisiatif ini turut menyokong sasaran Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) untuk mengumpul sekurang-kurangnya 350,000 lafaz ikrar sepanjang Kempen Keselamatan Pekerjaan selama 3 bulan, sempena ASEAN Worker Safety & Health Summit yang akan diadakan di KLCC pada 4 – 5 Ogos 2025.
Sebagai inisiatif bagi merealisasikan visi dan misi bersama dalam memperkasakan latihan TVET, pihak ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang telah menandatangani satu nota kerjasama dengan 4 Institusi Pendidikan iaitu:
• Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang
• Kolej Vokasional Kota Tinggi
• SMK Taman Megah Ria
• SK Pasir Gudang 3
MoC ini sebagai tanda komitmen pihak ADTEC JTM KampusPasir Gudang | Senai dalam mengangkat TVET ke tahap yang lebih tinggi.
Sebagai tanda penghargaan, ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang | Senai telah menyampaikan plaque eksklusif kepada tetamu kehormat dan 4 wakil institusi rakan strategik. Plaque tersebut dihasilkan menggunakan teknik engraving CNC Milling dengan bahan asas plate aluminium, menampilkan ilustrasi logo rasmi Hari TVET Negara – “Jom Pilih TVET”. Ia merupakan hasil kerja pelajar dan pensyarah ADTEC sebagai simbol kemahiran dan inovasi.
Majlis perasmian diteruskan dengan sesi lawatan rasmi oleh tetamu jempuan ke bengkel-bengkel kemahiran oleh yang diiringi oleh pengurusan ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai. Dalam masa yang sama, berlangsung aktiviti TVET Tour khusus untuk pelajar sekolah yang hadir, bagi memberi pendedahan awal kepada mereka mengenai program-program TVET serta kemudahan dan teknologi yang digunakan dalam latihan di ADTEC.
Program Hari TVET Negara Peringkat Kampus ADTEC JTM Pasir Gudang | Senai juga telah dijalankan Kursus Jangka Pendek (KJP) yang antara lain dalam bersama menjayakan program National Training Week (NTW). Peserta KJP melibatkan pelajar sekolah dan juga peserta luar.
Dengan tema “Yok Belajo Kemahiran @ILPPG”, sambutan ini telah berjaya memberi pendedahan luas kepada masyarakat, memperkukuh hubungan antara institusi dan komuniti, serta menyemarakkan lagi semangat TVET sebagai pilihan kerjaya masa depan yang kompeten dan berdaya saing.
