07-2544170 , Fax: 07-2511910 info.ilppg@jtm.gov.my

Pada 12 Jun 2025, Konvensyen TVET Madani 2025 (Madani TVET Convention 2025 – MTC2025) telah berlangsung dengan jayanya sempena sambutan Hari TVET Negara 2025 yang diadakan dari 11 hingga 13 Jun di Melaka International Trade Centre (MITC). Konvensyen bertemakan “Revolusi Data dan Inovasi TVET” ini merupakan platform julung kalinya menghimpunkan pelbagai pemain industri, penggubal dasar, pengajar serta pelatih TVET bagi membincangkan penyelidikan, pembangunan dan inovasi berkaitan hala tuju pendidikan teknikal di Malaysia.

Tuan Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Kampus Senai, Ts. Dr. Hj. Azli Amin Bin Ahmad Raus yang telah membentangkan kertas kerja bertajuk “Enhancing Plastic Injection Tooling Through Additive Manufacturing: A Case Study on SLM-Fabricated AlSi10Mg Inserts”. Kertas kerja ini dikemukakan di bawah bidang “Industri Nadir Bumi & Industri Berasaskan Peralihan Tenaga” dan memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi Additive Manufacturing dalam meningkatkan kecekapan proses pembuatan acuan suntikan plastik, yang merupakan elemen penting dalam industri pembuatan berteknologi tinggi.

Konvensyen ini turut menampilkan lebih 60 pembentangan kertas kerja dan poster daripada pelbagai institusi seperti ADTEC JTM, FeMAC, CIAST, IKBN, dan PROTON Institute. Selain bidang industri nadir bumi dan peralihan tenaga, konvensyen ini juga memberi perhatian kepada inovasi dalam bidang Pertanian & Asas Tani, Elektrik & Elektronik Bernilai Tinggi, serta Teknologi & Digital.

Penyertaan aktif Ts. Dr. Hj. Azli Amin Bin Ahmad Raus dalam konvensyen ini mencerminkan komitmen tinggi ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai dalam menyokong agenda nasional ke arah pembangunan industri strategik dan peralihan tenaga. Diharapkan penglibatan ini dapat menjadi pemangkin semangat warga kerja ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai untuk terus memperkukuh kesiapsiagaan pelajar dan meningkatkan daya saing TVET negara menghadapi cabaran masa depan.

Skip to content