Johor Bahru, 13 Jun 2025 – Kolej Teknologi Termaju (ADTEC JTM) Kampus Pasir Gudang dan Kampus Senai telah menganjurkan Perhimpunan Pelajar Bil. 3/2025 pada jam 8.00 pagi di Kampus Pasir Gudang dan jam 3.00 petang bagi Kampus Senai. Majlis ini diadakan bagi menyampaikan maklumat penting berkaitan hal ehwal pelajar serta memberi peringatan berkaitan tatatertib, pengurusan asrama, dan persediaan peperiksaan.
Majlis dimulakan dengan ketibaan para pelajar diikuti dengan ketibaan pegawai dan kakitangan institut. Kemudian majlis menyambut ketibaan YBrs. Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Kampus Senai, Ts. Dr. Hj. Azli Amin bin Ahmad Raus serta dif-dif kehormat. Lagu rasmi seperti Lagu Bangsa Johor, Lagu Negaraku dan Lagu JTM dinyanyikan dengan penuh semangat, diikuti bacaan doa.
Majlis diteruskan dengan lafaz ikrar Rukun Negara serta bacaan petikan Buku Peraturan Tatatertib Pelajar ILJTM.
Beberapa taklimat penting turut disampaikan dalam majlis ini. Antaranya ialah:
Taklimat Garis Panduan Pelajar Tinggal Luar Asrama & Pengurusan Kenderaan oleh En. Redha Anwar bin Mohamad (Bahagian Pengurusan Pelajar dan Latihan),
Taklimat Pengurusan Asrama oleh En. Muhammad Syafiq bin Ibrahim (Penyelia Asrama),
Taklimat Peperiksaan oleh Ts. Kavitha Palaniappan (Penolong Pengarah Bahagian Kawalan Kualiti dan Latihan),
Taklimat Kaunselor berkaitan Survival Kit Sebelum Peperiksaan oleh Cik Intan Zainurainy Binti Iyni (Kaunselor Pelatih).
Sesi turut diserikan dengan slot pengucapan awam pelajar Kampus Pasir Gudang oleh Adam Harith bin Mohd Tarmizi dan Muhammad Zarif Irfan bin Mohd Rahimi, keduanya dari Teknologi Automotif. Manakala bagi Kampus Senai, Muhammad Anas Syamimi bin Ramli dari Teknologi Elektronik Industri yang menyampaikan amanat dan perkongsian inspirasi kepada rakan-rakan pelajar.
Seterusnya majlis diserikan lagi dengan ucapan oleh YBrs. Technologies Dr. Hj. Azli Amin bin Ahmad Raus, Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Kampus Senai, yang telah sedikit sebanyak berkongsi pengalaman serta memberi amanat dan semangat kepada para pelajar agar dapat menjadi pekerja berkemahiran yang lebih bermutu tinggi, berakhlak mulia serta sentiasa berada di hadapan, seiring arus kemodenan yang kini diterajui oleh Artificial Intellegence (AI). Tuan Pengarah menyarankan kepada pelajar mengetahui cara untuk menggunakan teknologi seperti AI agar menjadi pekerja yang sangat diinginkan oleh industri.
Kemuncak majlis adalah penyampaian sijil National Shakespeare’s Day peringkat Antarabangsa secara dalam talian kepada pelajar yang terlibat serta sesi fotografi bersama Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Kampus Senai, dan majlis bersurai.
Program seperti ini dilihat penting dalam memperkukuh disiplin pelajar dan menyampaikan maklumat penting secara langsung, selaras dengan komitmen ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Kampus Senai dalam melahirkan graduan teknikal yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing tinggi.

