13 Jun 2025 – Program CITRA INTEGRA ’25 yang berlangsung di ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang, Cawangan Senai telah menghimpunkan pelbagai elemen pembinaan sahsiah diri, budaya, spiritual dan semangat kebersamaan dalam kalangan pelajar serta pegawai institusi.
Program anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ini mendapat kerjasama penuh daripada semua pegawai Bahagian Pengurusan Pelajar & Latihan (BPPL) yang turut turun padang menjayakan keseluruhan program.
Antara pengisian utama:
1. Bengkel Kerohanian (Pengurusan Jenazah)
Peserta diberi pendedahan secara teori dan praktikal mengenai pengurusan mandi jenazah. Bengkel ini memberi kesedaran tentang tanggungjawab fardu kifayah serta nilai kemanusiaan dalam Islam.
2. Slot Motivasi Pelajar oleh Kaunselor
Sesi motivasi dikendalikan oleh kaunselor bertauliah, dengan fokus kepada pembangunan kendiri, kekuatan mental serta pengurusan emosi dalam kalangan pelajar. Sesi ini turut membuka ruang interaksi aktif yang memberi impak positif kepada peserta.
3. Riadah & Gotong-Royong Memasak
Suasana santai namun penuh makna tercipta melalui aktiviti riadah dan gotong-royong menyediakan jamuan. Menu istimewa roti jala dan bihun sup utara spesial disediakan secara bersama antara pelajar dan pegawai, memupuk nilai kerja berpasukan dan kebersamaan.
4. Jalinan Mesra MPP Antara Kampus
Beberapa ahli MPP dari Kampus Pasir Gudang turut hadir, menjadikan program ini medan jalinan ukhwah dan perkongsian idea antara kepimpinan pelajar dari kampus berbeza.
Program CITRA INTEGRA ’25 bukan sahaja menyentuh aspek rohani dan emosi pelajar, malah mencipta ruang interaksi sihat dan nilai-nilai murni dalam suasana yang menyeronokkan dan membina.
