Johor Bahru, 16 Jun 2025 – Bermula hari ini, pegawai dari ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang akan ditempatkan secara berjadual di One Stop Labour Center (OSLC) Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang beroperasi di Bangunan PERKESO Johor.
Penempatan ini merupakan inisiatif strategik bagi memperkukuh peranan OSLC sebagai pusat sehenti yang menyediakan maklumat berkenaan peluang latihan dan kerjaya kepada orang awam. Kaunter ADTEC JTM di OSLC ini akan bertindak sebagai pusat informasi dan promosi rasmi bagi Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM).
Melalui penyertaan ini, masyarakat akan dapat memperoleh maklumat secara terus berkaitan program latihan kemahiran yang ditawarkan di bawah ILJTM serta peluang penempatan pekerjaan melalui pelbagai platform yang disediakan oleh KESUMA dan agensinya.
Inisiatif ini selaras dengan usaha berterusan kerajaan untuk memperluas akses kepada pendidikan dan latihan teknikal serta meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan.

 
  
 