Kg. Sinaran Baru, 22 Jun 2025 – Suasana ceria dan penuh semangat mewarnai Hari Sukaneka TABIKA KEMAS Kg. Sinaran Baru yang telah berlangsung di Padang Kg. Sinaran Baru. Majlis ini telah dirasmikan oleh Ts. Dr. Hj. Azli Amin Bin Ahmad Raus, Pengarah Kolej Teknologi Termaju, Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) Kampus Pasir Gudang & Senai.
Majlis ini dianjurkan oleh En. Mad Johan bin Jaimnan, Pengerusi TABIKA KEMAS Kg. Sinaran Baru, dengan kerjasama warga pendidik dan komuniti setempat yang turut memainkan peranan dalam menjayakan program tersebut.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pn. Nor Rashidah bt A. Rahman, Penolong Pegawai Pendidikan Awal Kanak-kanak TABIKA KEMAS Parlimen Tebrau.
Sebanyak 58 orang murid daripada 4 buah TABIKA KEMAS di sekitar Kg. Sinaran Baru telah menyertai pelbagai acara sukaneka yang menarik dan menyeronokkan. Antara acara yang dipertandingkan termasuklah lari dalam guni, bawa bola ping pong dalam sudu, isi air dalam botol, dan tarik tali.
Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada murid-murid untuk bergembira sambil belajar, malah berjaya menggalakkan penglibatan ibu bapa serta memupuk semangat kerjasama dan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat.
Hari Sukaneka ini diharapkan dapat menjadi platform tahunan yang menyokong pembangunan holistik kanak-kanak menerusi pendekatan pembelajaran secara aktif dan menyeronokkan.
Pengarah ADTEC JTM PG&S juga bersetuju untuk melaksanakan Nota kerjasama dengan Tadika KEMAS Negeri Johor bagi pendedahan awal pendidikan TVET kepada pelajar-pelajar Tadika KEMAS.
