07-2544170 , Fax: 07-2511910 info.ilppg@jtm.gov.my

Kluang, 22 Jun – Dalam usaha memperkukuh dan memperluas peluang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kalangan belia tempatan, Program Pemerkasaan TVET Belia 2025 telah berjaya dilangsungkan di Dewan Serbaguna Taman Sri Kluang. Program ini telah dirasmikan oleh YB Puan Wong Shu Qi, Ahli Parlimen Kluang.

Penganjuran program ini bertujuan menghimpunkan pelbagai institusi pendidikan tajaan kerajaan bersama organisasi korporat dan agensi berkaitan untuk mempromosikan laluan pendidikan berteraskan kemahiran, sejajar dengan aspirasi kerajaan MADANI. Pendekatan ini secara tidak langsung memberi peluang kepada golongan belia untuk meneroka pelbagai bidang kemahiran yang ditawarkan serta peluang kerjaya yang menanti.

Lebih bermakna, program ini turut berperanan sebagai platform pencerahan kepada para pelajar dan ibu bapa dalam memahami syarat kemasukan serta struktur program-program TVET yang ditawarkan oleh institusi di bawah seliaan kerajaan. Maklumat ini amat penting bagi memastikan bakal pelajar dapat membuat perancangan awal ke arah laluan kerjaya berasaskan kemahiran yang bersesuaian dengan minat dan potensi masing-masing.

Dalam sesi taklimat yang dijalankan, Puan Hajah Edayu binti Mohd Yusof, Kaunselor ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang telah berkongsi maklumat berkaitan program-program sepenuh masa yang ditawarkan di ADTEC JTM Pasir Gudang dan Kampus Senai. Beliau turut dibantu oleh Cik Intan Zainurany binti Iyni, Kaunselor Pelatih, bagi menjawab pertanyaan serta memberikan konsultasi kepada para pengunjung.

Penyertaan ADTEC JTM dalam program seperti ini membuktikan komitmen berterusan institusi dalam mempromosikan TVET sebagai pilihan utama masa depan belia Malaysia — ke arah negara berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat global.

Skip to content