07-2544170 , Fax: 07-2511910 info.ilppg@jtm.gov.my

Pada 27 Jun 2025, dua alumni ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang telah dijemput sebagai panel jemputan dalam sesi podcast sempena Karnival Jom Masuk TVET Zon Selatan 2025 yang berlangsung di Tapak Jom Heboh, Angsana Mall Johor Bahru.

Program ini dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia dan telah menarik kehadiran anggaran seribu orang pengunjung.

Panel yang terlibat ialah Saudara Mohd Alif Bin Zakaria dan Saudara Muhamad Luqman Bin Mohamad Zulkifli. Kedua-duanya merupakan bekas pelajar dalam bidang Teknologi Kimpalan di ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan kini berkhidmat sebagai jurukimpal di sebuah firma terkemuka di Singapura.

Apa yang lebih membanggakan, sebelum menyambung pengajian di ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang, mereka pernah bekerja sebagai tukang cuci kereta untuk menyara kehidupan. Namun, dengan semangat yang tinggi dan kesungguhan untuk mengubah nasib, mereka memilih laluan TVET sebagai batu loncatan menuju masa depan yang lebih cerah.

Sepanjang sesi podcast, kedua-dua alumni tidak putus-putus melahirkan rasa syukur kepada Allah atas perjalanan hidup mereka yang penuh hikmah. Mereka turut menyatakan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang atas bimbingan, ilmu dan sokongan yang telah membuka ruang untuk mereka membina kerjaya yang membanggakan.

Perkongsian mereka telah memberi inspirasi kepada para pengunjung, khususnya golongan muda, tentang potensi bidang kemahiran dan bagaimana TVET mampu menjadi platform transformasi diri dan kerjaya.

ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang amat berbangga dengan pencapaian para alumninya yang terus mengharumkan nama institusi di peringkat serantau.

Skip to content