Satu kunjungan rasmi telah diadakan oleh pihak ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang ke UniKL MITEC Pasir Gudang pada 4 Julai 2025 bagi membincangkan potensi usaha sama strategik dalam pelaksanaan kursus OPITO, iaitu satu pensijilan keselamatan dan kompetensi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa khususnya dalam sektor minyak dan gas.
Delegasi ADTEC JTM diketuai oleh Tuan Pengarah, Ts Dr Hj Azli Amin bin Ahmad Raus, bersama Timbalan Pengarah, Ts Eza binti Monzaid, serta Penolong Pengarah CESS, Pn Norina binti Andang. Kunjungan ini telah disambut mesra oleh Assoc. Professor Ir Ts Muhammad Ikbar bin Abdul Wahab, Timbalan Dekan UniKL MITEC, bersama barisan pensyarah kanan institusi tersebut.
Intipati dalam perbincangan ini:
Penjelasan struktur dan keperluan kursus OPITO
Potensi kerjasama dalam aspek latihan, fasiliti dan kepakaran tenaga pengajar
Perbincangan berkenaan laluan menyambung pengajian graduan ADTEC JTM ke UniKL, terutamanya dalam bidang berkaitan teknologi industri dan kejuruteraan, sebagai kesinambungan pengajian ke tahap yang lebih tinggi
Cadangan mengadakan Nota Kerjasama (Letter of Collaboration) bagi merasmikan jalinan strategik antara ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan UniKL MITEC
Strategi pelaksanaan kursus yang memberi manfaat langsung kepada pelajar dan industri
Kunjungan ini mencerminkan komitmen kedua-dua institusi dalam memperkukuh jaringan kolaboratif demi meningkatkan kebolehpasaran graduan serta menyokong pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang menepati keperluan industri semasa, khususnya dalam sektor minyak dan gas.
Pihak ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas layanan mesra dan keterbukaan pihak UniKL MITEC. Semoga perbincangan ini menjadi asas kukuh kepada kerjasama yang lebih erat dan berimpak tinggi pada masa hadapan.
