Program forum motivasi bertajuk Sinar Alumni: Terang Jalan Kami telah berjaya dilaksanakan pada 7 Julai 2025 bertempat di Surau Al-Mawaddah, Kolej Teknologi Termaju, JTM Kampus Pasir Gudang. Forum ini menampilkan dua orang alumni cemerlang daripada jurusan Teknologi Pembuatan (Pemesinan), iaitu Muhammad Hafiz Bin Ali dan Muhammad Farizul Izzam Bin Sanusi.
Muhammad Hafiz Bin Ali merupakan Tokoh Pelajar Keseluruhan Sesi 2/2023 dan juga mantan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar. Muhammad Farizul Izzam Bin Sanusi pula merupakan Tokoh Pelajar Cemerlang bagi kursus Pemesinan. Kedua-dua alumni ini pernah mewakili ILP dalam pertandingan inovasi peringkat kebangsaan dan telah berjaya meraih pingat perak dalam pertandingan tersebut.
Antara pesanan penting yang dikongsikan oleh mereka kepada para pelajar ialah:
1. Berani mencuba ilmu baharu dan keluar daripada zon selesa.
2. Bijak memilih rakan yang memberi pengaruh positif.
3. Aktif melibatkan diri dalam program dan organisasi di ILP.
4. Genggam bara api hingga menjadi arang, sebagai simbol ketabahan dan kesungguhan.
5. Rapatkan diri dengan Allah sebagai asas kejayaan dan ketenangan dalam hidup.
Menariknya, kedua-dua alumni ini turut menunjukkan semangat khidmat bakti yang tinggi apabila mereka berkampung di Surau Al-Mawaddah semalaman untuk menyediakan juadah sarapan pagi khas kepada para pengajar yang bertugas sempena hari pendaftaran pelajar baharu sesi 2/2025.
Pengorbanan ini membuktikan bahawa nilai sahsiah, kepimpinan dan semangat memberi kembali kepada institusi tetap terpahat dalam diri alumni walau di mana mereka berada.
Semoga perkongsian dan contoh teladan yang ditunjukkan menjadi pencetus inspirasi kepada semua pelajar untuk terus melangkah dengan yakin dan berprinsip dalam dunia TVET dan kehidupan.
