Satu kunjungan muhibah telah diadakan oleh pihak ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Kampus Senai ke Pejabat Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Johor. Delegasi ADTEC JTM diketuai oleh Pengarah, Ts Dr Hj Azli Amin bin Ahmad Raus, serta disertai pegawai-pegawai dari Unit Hubungan Industri dan Komunikasi Korporat.
Ketibaan delegasi telah disambut mesra oleh Pengarah JAKOA Negeri Johor, Encik Faisal bin Long, bersama barisan pegawai JAKOA yang lain.
Tujuan utama kunjungan ini adalah untuk menjalin hubungan strategik dan membuka ruang kerjasama antara ADTEC JTM dan JAKOA dalam usaha memperkasa pembangunan modal insan dalam kalangan masyarakat Orang Asli melalui pendidikan dan latihan kemahiran teknikal.
Antara intipati perbincangan termasuklah:
Peluang penempatan latihan kemahiran untuk belia Orang Asli di ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang & Kampus Senai.
Cadangan program outreach atau promosi pendidikan teknikal ke kawasan komuniti Orang Asli
Potensi jalinan Nota Kerjasama antara JAKOA dan ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang & Kampus Senai.
ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang & Kampus Senai komited dalam memainkan peranan sebagai penyedia latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang inklusif dan menyeluruh, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk tidak meminggirkan mana-mana kelompok masyarakat, termasuk komuniti Orang Asli, dalam agenda pembangunan negara. Kunjungan ini diharap menjadi permulaan kepada hubungan sinergi yang memberi manfaat bersama dalam jangka masa panjang.
