Pasir Gudang, 9 Julai 2025 (Rabu) – Pasukan Emergency Response Team (ERT) ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang telah berjaya melaksanakan Taklimat Pengungsian Bangunan dan Latihan Kebakaran (Fire Drill) sempena Minggu Suai Kenal Pelajar Baharu Sesi 2/2025. Program ini diadakan bagi memberi pendedahan awal, khususnya kepada pelajar baharu, berkenaan prosedur keselamatan yang perlu dipatuhi sekiranya berlaku kecemasan seperti kebakaran.
Taklimat keselamatan telah bermula pada jam 3.00 petang dan disampaikan oleh Cik Siti Suraya Hani binti Mohd Juar selaku Ketua Unit ERT. Dalam sesi tersebut, beliau menerangkan secara terperinci mengenai langkah-langkah pengungsian bangunan yang betul, tanggungjawab setiap individu dalam situasi kecemasan, serta kepentingan untuk mengetahui dan memahami laluan kecemasan yang telah ditetapkan. Sesi taklimat turut disusuli dengan demonstrasi penggunaan alat pemadam api yang dikendalikan oleh En Mohammad Ridzuan bin Kasnaini, Pegawai Insiden yang berpengalaman dalam menguruskan kecemasan di peringkat institusi.
Kemuncak program berlangsung pada jam 12.00 tengah malam melalui pelaksanaan latihan pengungsian bangunan yang melibatkan semua penghuni asrama. Sebaik sahaja siren amaran dibunyikan, pelajar-pelajar telah diarahkan keluar serta-merta dan diminta berkumpul di kawasan selamat seperti yang telah ditetapkan. Latihan ini dijalankan dalam suasana simulasi kecemasan yang menyerupai keadaan sebenar bagi menguji tahap kesiapsiagaan serta kefahaman pelajar terhadap prosedur keselamatan yang telah dipelajari.
Turut hadir dalam latihan ini ialah Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang, Ts Hj Azli Amin bin Ahmad Raus. Latihan ini turut dipantau oleh dua orang pegawai dari Balai Bomba Pasir Gudang, iaitu En Mohammad Faez bin Rahmat dan En Mohd Sadarudin Ramdani bin Sahran, bagi memastikan latihan yang dilaksanakan mengikut prosedur yang betul. Pasukan ERT ILPPG serta barisan warden asrama turut memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pelaksanaan latihan tersebut. Berdasarkan pemerhatian, masa pengungsian yang dicatat menunjukkan peningkatan berbanding latihan terdahulu, sekaligus membuktikan keberkesanan program ini. Pihak bomba turut memberikan maklum balas serta cadangan penambahbaikan untuk memastikan latihan akan datang dapat dijalankan dengan lebih berkesan.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan. Ia bukan sahaja meningkatkan kesedaran dan kefahaman pelajar tentang aspek keselamatan, malah turut membentuk budaya tangkas, tenang dan berdisiplin dalam kalangan pelajar ketika berdepan dengan situasi kecemasan. Inisiatif sebegini wajar diteruskan bagi memastikan persekitaran kampus sentiasa berada dalam keadaan selamat dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
