MSK 2/2025 telah melabuhkan tirainya dengan penuh warna dan semangat selama lima hari, bermula 7 hingga 11 Julai 2025. Program yang bertemakan “Tempa Kemahiran, Bina Jati Diri” ini telah melibatkan seramai 248 pelajar baharu dari pelbagai jurusan, sebagai persediaan awal memasuki dunia latihan kemahiran secara holistik.
MSK dimulakan dengan sesi Taklimat Pengerusi MSK, Puan Punitha Bangaraiyah, disusuli aktiviti Leadership Development & Team Building yang dikenali sebagai UNITY 360, serta sesi pengenalan bersama warden dan staf hostel. Hari kedua pula diisi dengan taklimat rasmi daripada unit BKKL, BPPA, CESS dan Kokurikulum, serta Kursus Pengurusan Diri oleh Pn Azira, diikuti aktiviti kecergasan oleh Team Lentera Vitality, dan sesi pengisian kerohanian bersama Team Jiwa Madani.
Pengisian hari ketiga menyentuh aspek kesedaran sivik melalui ceramah oleh agensi luar seperti JPJ, Jabatan Penjara dan PDRM, diikuti aktiviti santai bersama alumni dalam segmen Jiwa Madani, serta sesi fire drill selepas taklimat pengungsian bangunan oleh pasukan yang diketuai Cik Suraya Hani.
Hari keempat pula diteruskan dengan LDK lanjutan UNITY 360, Taklimat ESG oleh TPL, Pn Eza Binti Monzaid, serta aktiviti Go Green termasuk program menanam pokok dan mengecat kawasan kolej. Pada sebelah petang, aktiviti Explorace dikendalikan oleh En. Farid bin Muslan, menguji ketahanan mental dan kerjasama pasukan peserta.
Kemuncak program berlangsung pada hari kelima dengan bacaan Surah Yasin serta Majlis Penutup Rasmi MSK 2/2025 yang telah dirasmikan oleh mantan Pengarah ADTEC Pasir Gudang, Ts. Tn. Hj. Sarwan bin Rawan, disaksikan oleh Pengarah, Ts. Dr. Hj. Azli Amin bin Ahmad Raus, Dr. Dayangku Suraya binti Awang Jafar, (Ketua Jabatan Mekanikal dan Pengeluaran), barisan penolong pengarah, kaunselor, ketua bahagian, dan para pensyarah.
Program MSK turut menyaksikan pergerakan seramai 44 pelajar baharu kursus IPD dan IE ke Kampus Senai, dan pekajar lain telah diserahkan ke bengkel masing-masing tepat jam 3.00 petang, sebagai permulaan rasmi sesi pembelajaran mereka di sana. Program ini telah berjaya membentuk semangat jati diri, disiplin dan keyakinan pelajar, selari dengan misi TVET dalam melahirkan tenaga mahir yang holistik.
Pihak pengurusan kolej merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya fasilitator, urus setia, pensyarah dan pelajar atas komitmen tinggi sepanjang program.
