07-2544170 , Fax: 07-2511910 adtecjtmpg@jtm.gov.my

Senai, 13 Julai 2025 – Kolej Kejuruteraan Termaju (ADTEC) JTM Kampus Pasir Gudang dan Kampus Senai terus memperkukuh usaha memodenkan sistem pendidikan dan latihan teknikal negara menerusi pelaksanaan teknologi digital dan infrastruktur berimpak tinggi. Hari ini menyaksikan dua detik bersejarah telah berlangsung di Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) Kampus Senai, Johor iaitu Majlis Peluncuran Inisiatif Smart Classroom dan Perasmian Kolej Teknologi Termaju JTM oleh YB Menteri Sumber Manusia (KESUMA).

Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Encik Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia, dan turut dihadiri oleh Yang Berusaha Tuan Sutekno bin Ahmad Belon, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), KESUMA, Yang Berbahagia Datuk Rospiagos bin Taha, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia dan Encik Oliver Liu, Naib Presiden, Hal Ehwal Awam dan Komunikasi, Huawei Malaysia.

Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) JTM Kampus Senai ini merupakan institusi TVET baharu di bawah JTM yang turut diterajui oleh Ts. Dr. Haji Azli Amin Bin Mohd Raus, Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang . Institut ini mula beroperasi dengan pengambilan pelajar sulung pada Februari 2025, menawarkan program-program berteraskan teknologi tinggi, inovasi dan keperluan industri semasa.

Inisiatif Smart Classroom: Langkah Strategik Transformasi Digital TVET

Dalam majlis sama, YB Menteri turut melancarkan inisiatif Smart Classroom, yang merupakan sebahagian daripada projek Proof-of-Concept (PoC) selama enam bulan melibatkan ADTEC JTM Kampus Senai serta pelaksanaan Digital Classroom di lima (5) kampus ADTEC JTM lain, iaitu Pasir Gudang, Pedas, Selandar, Perai dan Jerantut. PoC ini dijadualkan berlangsung sehingga Disember 2025.

Smart Classroom ialah gabungan pembelajaran fizikal dan digital yang membolehkan pengajaran dijalankan secara hibrid, interaktif dan berpusatkan pelajar, menggunakan kemudahan teknologi terkini seperti Huawei IdeaHub dan Learning Management System (LMS)

Melalui sistem ini, tenaga pengajar boleh menyampaikan pengajaran secara berpusat merentas kampus, merakam dan menyiarkan semula demonstrasi kemahiran secara langsung, serta membolehkan pelajar mengakses bahan pembelajaran bila-bila masa dari mana-mana lokasi.

Sebanyak 41 orang tenaga pengajar ADTEC JTM, termasuk dari 12 orang pengajar dari ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai, telah mengikuti latihan amali bersama Huawei Malaysia pada 11 dan 12 Julai 2025, bagi memastikan penguasaan penggunaan sistem dan peralatan dijalankan dengan cekap dan berkesan.

Kerjasama Strategik Malaysia–China Dorong Kemajuan TVET

Inisiatif ini adalah hasil kerjasama strategik antara KESUMA dan Huawei Malaysia, susulan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani semasa Sidang Kemuncak Malaysia–China pada Disember 2024. Ia bertujuan memperkukuh kapasiti latihan, membina keupayaan teknologi dan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang bersedia menghadapi Revolusi Industri 4.0.

Penilaian menyeluruh akan dijalankan terhadap keberkesanan PoC ini, termasuk maklum balas pengguna dan penilaian keberhasilan dari segi capaian teknologi, kecekapan pelaksanaan dan keperluan sokongan latihan berterusan, sebelum diperluas ke kampus-kampus lain.

Komitmen Terus Memacu TVET Masa Hadapan

Sebagai kampus perintis, ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai amat berbangga menyertai pelaksanaan awal inisiatif ini. Peluncuran Smart Classroom dan perasmian rasmi kampus baharu ini menggambarkan tekad KESUMA dan JTM untuk membina masa depan TVET yang inklusif, dinamik dan bertaraf global, selaras dengan aspirasi TVET Madani.

Skip to content