Pada 17 Julai 2025, Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang & Senai, Ts. Dr. Hj. Azli Amin bin Ahmad Raus telah dijemput sebagai panel penceramah dalam Seminar Pengajar Bidang Pembuatan dan Teknologi Industri anjuran JTM-MBOT 2025 bertempat di ILJTM Wilayah Tengah.
Seminar bertemakan “Meneroka Potensi, Cabaran dan Strategi Kelestarian dalam Pembangunan Industri Pembuatan” ini menghimpunkan tenaga pengajar dan pemain industri untuk membincangkan isu serta halatuju terkini dalam bidang pembuatan dan teknologi.
Dalam sesi yang bertajuk “Dunia Pemesinan Masa Depan: Inovasi dalam Teknologi Pembuatan Aditif dan Aplikasi Industri”, Ts. Dr. Azli membentangkan pandangan strategik mengenai potensi teknologi Additive Manufacturing (AM) dalam mendepani revolusi industri masa hadapan. Beliau turut menyentuh tentang keperluan penerapan inovasi berimpak tinggi dalam latihan TVET serta peranan pusat latihan seperti ADTEC dalam membina tenaga kerja berkemahiran tinggi dan kompeten sejajar keperluan industri 4.0.
Sesi pembentangan ini mendapat perhatian positif daripada peserta yang terdiri daripada tenaga pengajar, ahli profesional MBOT dan wakil-wakil industri. Ia juga menjadi platform penting dalam memacu sinergi antara institusi latihan dan sektor industri ke arah pembangunan ekosistem pendidikan teknikal yang mampan dan relevan.
Pihak ADTEC JTM mengucapkan setinggi penghargaan kepada pihak penganjur atas jemputan dan peluang kerjasama strategik ini.
