Program “SKILL, SPIRIT, SUCCESS” telah berjaya dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)pada 29 Julai 2025 bertempat di Surau Al-Mawaddah, ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang. Program ini menampilkan figura inspirasi dan ikon kebanggaan institusi, Saudara Muhammad Danish Aiman bin Yussaini, alumni kursus Teknologi Penyelenggaraan Mekanikal, sebagai panel utama dalam sesi perkongsian.
Beliau merupakan:
Tokoh Pelajar Cemerlang Keseluruhan
Tokoh ICON TVET Kebangsaan
Tokoh Pelajar Cemerlang Teknologi Penyelenggaraan Mekanikal
Dalam sesi tersebut, beliau berkongsi kisah peribadi yang menyentuh hati. Beliau merupakan bekas pelajar MRSM, dan tidak dinafikan, keputusan beliau untuk menyambung pengajian di ADTEC JTM pada mulanya tidak mendapat sokongan ramai rakan-rakan sekeliling. Namun dengan semangat luar biasa dan keyakinan terhadap potensi pendidikan TVET, beliau tekad untuk membuktikan bahawa belajar di ADTEC JTM juga mampu mencorak masa depan yang cemerlang dan membanggakan.
Sesi forum ini memberi inspirasi kepada para pelajar dalam memahami nilai sebenar kemahiran (skill), semangat juang (spirit), dan usaha mencapai kejayaan (success) yang seimbang dari sudut akademik, kemahiran teknikal, dan kepimpinan. Akhir program, Saudara Danish turut meluangkan masa dalam satu pertemuan khas bersama para pelajar kursus Teknologi Penyelenggaraan Mekanikal. Suasana santai dan mesra ini membolehkan sesi soal jawab secara dekat, diikuti dengan jamuan ringkas bersama para pelajar, sekaligus mengukuhkan hubungan alumni dan warga ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang.
Semoga semangat Skill, Spirit, Success terus menyala dan membakar semangat anak-anak TVET untuk mencipta kejayaan mereka tersendiri.
