Pasir Gudang, 30 Julai 2025 – Satu sesi perjumpaan telah diadakan antara Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang bersama pelajar-pelajar Semester 3 yang tinggal di luar asrama. Sesi ini bertujuan bagi mendengar cadangan, pandangan serta isu-isu yang dihadapi oleh pelajar yang memilih untuk menetap di luar asrama kolej.
Antara perkara yang dibangkitkan oleh pelajar adalah:
1. Cadangan elaun bulanan sebanyak RM150 – RM200 bagi pelajar yang tinggal di luar asrama.
2. Kebenaran penggunaan Dewan Makan (DM) untuk pelajar luar asrama bagi menikmati minum pagi dan makan tengah hari.
3. Kebenaran parkir kenderaan pelajar luar asrama di dalam kawasan kampus.
Pengarah ADTEC JTM PG memaklumkan bahawa semua cadangan tersebut akan dibawa ke peringkat pengurusan atasan untuk pertimbangan serta kelulusan. Di dalam sesi tersebut, beliau turut bertanya kepada para pelajar mengenai faktor mereka memilih untuk tinggal di luar asrama. Antara alasan yang dikemukakan adalah kerana bekerja, menjaga ibu bapa yang kurang sihat, serta faktor keselesaan peribadi.
Beliau juga menegaskan agar pelajar sentiasa mematuhi peraturan kolej dan tidak menyalahgunakan keistimewaan sebagai pelajar luar asrama untuk menyeludup barang terlarang seperti rokok, vape, ketum dan dadah ke kawasan asrama.
Dalam ucapan motivasinya, beliau menyatakan penghargaan kepada pelajar yang bekerja untuk menampung diri serta keluarga. Namun, beliau menasihatkan agar pelajar menjaga keseimbangan supaya aktiviti bekerja tidak menjejaskan prestasi akademik.
Menariknya, beliau turut berkongsi perancangan untuk mengadakan konvoi mengelilingi negeri Johor sempena Sambutan Kemerdekaan yang bakal diadakan tidak lama lagi, sebagai usaha memupuk semangat patriotisme dan kebersamaan dalam kalangan pelajar.
