Biro Kerohanian ADTEC Pasir Gudang telah menganjurkan program “Align and Reset” yang bertujuan untuk menyemak, memperbetul dan memantapkan bacaan-bacaan solat dalam kalangan pelajar pada 7 Ogos 2025. Program ini memberi penekanan khusus kepada bacaan wajib seperti takbir, surah al-Fatihah, bacaan tahiyat, doa qunut serta zikir selepas solat di Surau Al-Mawaddah, ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang.
Sepanjang program, para fasilitator telah menjalankan sesi latih tubi bagi memastikan setiap pelajar dapat membetulkan sebutan, tajwid dan intonasi bacaan dengan tepat mengikut sunnah Rasulullah ﷺ. Pelajar yang didapati masih belum menguasai bacaan dengan baik akan mengikuti kelas intensif khas bagi memastikan mereka benar-benar mampu mengamalkan bacaan yang sahih dalam ibadah seharian.
Program ini bukan sahaja memberi manfaat dari sudut ilmu dan kemahiran, tetapi juga membentuk rasa tanggungjawab untuk menjaga kualiti ibadah. Diharapkan usaha ini menjadi langkah penting dalam melahirkan pelajar ADTEC yang seimbang dari segi kemahiran teknikal dan kekuatan spiritual.
