Bagi memelihara warisan seni bela diri Melayu, Biro Kerohanian dengan kerjasama Biro Sukan & Rekreasi MPP telah menganjurkan Kelas Latihan Silat Seni Tari Gayuman Asli yang berlangsung setiap malam di perkarangan Surau Al-Mawaddah.
Latihan ini dikendalikan oleh Saudara Wan Muhammad Muhaimin bin Wan Yunus, seorang pelajar Kimpalan Semester 1 yang berpengalaman dalam seni silat. Peserta didedahkan dengan asas pergerakan, langkah tari, teknik pertahanan diri, serta falsafah silat yang menekankan adab, disiplin dan ketahanan fizikal.
Program ini bukan sahaja menguatkan tubuh badan, malah memupuk semangat perpaduan, menghormati guru, serta menanam rasa bangga terhadap seni tradisi bangsa. Diharapkan usaha ini dapat melahirkan pelajar yang berdisiplin, berilmu dan berakhlak mulia, seiring dengan kemahiran teknikal yang mereka pelajari di kampus.
