PICC, Putrajaya | 25 -26 Ogos 2025 – Tahniah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang kerana sekali lagi melakar sejarah dengan pencapaian 100% kebolehpasaran graduan selain Kampus Bukit Katil dan Kampus Kota Kinabalu. Kegembiraan tersebut turut diraikan oleh seluruh graduan ADTEC JTM melalui Majlis Istiadat Konvokesyen ADTEC JTM kali ke-28 yang berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC) bermula 25 hingga 26 Ogos 2025. Seramai 7,180 graduan diraikan atas kejayaan menamatkan pengajian dalam bidang kemahiran di 33 kampus ADTEC JTM seluruh negara. Kadar kebolehpasaran seluruh graduan ADTEC JTM setakat tahun 2024 telah mencapai 94.5%, dengan lebih 80% mendapat pekerjaan dalam bidang latihan masing-masing, mencerminkan keyakinan tinggi industri terhadap kualiti program TVET negara.
Majlis yang disempurnakan oleh YBhg. Datuk Azman bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), menegaskan bahawa TVET kini bukan lagi laluan alternatif, sebaliknya laluan arus perdana dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI berteraskan Kesejahteraan, Keilmuan dan Maruah. Kesemua Pengarah dan Timbalan Pengarah ADTEC JTM turut meraikan graduan masing-masing termasuk Ts. Dr. Hj. Azli Amin b. Ahmad Raus, Pengarah Kampus Pasir Gudang yang menjadi tetamu VVIP di dalam majlis penuh gemilang tersebut.
Ucapan syabas dan tahniah kepada Encik Mohamad Aidil bin Normat kerana terpilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Tokoh Alumni ADTEC JTM 2025 di Istiadat Konvokesyen JTM Ke-28 ini. Beliau yang menceburi bidang Maintenance Plant di Syarikat Shapadu CR Asia merupakan lepasan graduan ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang bidang Teknologi Minyak dan Gas (Plant Downstream). Syabas dan tahniah juga kepada Muhammad Akmal Amsyar bin Azmi graduan bidang Elekronik Industri JTM Kampus Pasir Gudang kerana terpilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Graduan Terbaik ADTEC JTM 2025 (Sidang 6).
ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang telah dinobatkan sebagai ADTEC JTM Ke-3 Terbaik dalam Anugerah Khas ADTEC JTM Terbaik (AAJT) 2025, anugerah yang julung kali diperkenalkan bagi pencapaian terbaik ADTEC JTM sepanjang tahun 2024 seterusnya membawa pulang piala kemenangan, mockup cheque bernilai RM8,000.00 serta sijil penghargaan. Anugerah telah disampaikan oleh YBhg. Datuk Rospiagos bin Taha, Ketua Pengarah JTM.
