07-2544170 , Fax: 07-2511910 adtecjtmpg@jtm.gov.my

Pada 3 September 2025 yang lalu, Biro Kerohanian Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah berjaya menganjurkan program “Alumni Kembali: Kongsi Inspirasi, Bina Motivasi” bertempat di Surau Al-Mawaddah, ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai. Program ini telah menampilkan panel jemputan istimewa, iaitu Encik Mohd Aidil bin Normat, tokoh Alumni ILJTM yang pernah menerima pengiktirafan pada Majlis Konvokesyen ILJTM kali ke-28. Beliau merupakan bekas pelajar ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dalam jurusan Teknologi Minyak & Gas (Mekanikal Downstream).

Program ini dijalankan dalam bentuk forum, di mana Encik Mohd Aidil berkongsi pengalaman menuntut ilmu di ADTEC, cabaran kerjaya, serta tips membina motivasi untuk berjaya. Beliau turut memberi kata semangat kepada para pelajar agar terus berusaha, berdisiplin dan yakin dengan potensi diri masing-masing.

Selepas sesi forum, beliau juga meluangkan masa bertemu dengan pimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Jawatankuasa Surau (JKK Surau) bagi sesi ramah mesra dan perkongsian pengalaman kepimpinan. Selain itu, beliau turut bertemu dengan para pelajar jurusan Teknologi Minyak & Gas, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk bertanya dan menimba ilmu secara lebih dekat.

Sebagai penutup yang penuh bermakna, Encik Mohd Aidil telah berbesar hati membacakan qasidah sempena hampirnya hari kelahiran Baginda Rasulullah SAW. Lebih istimewa, beliau sendiri merupakan mantan vokalis kumpulan qasidah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan pernah terlibat dalam rakaman qasidah melalui Radio RTM Sinar Nasional FM.

Program ini bukan sahaja membuka ruang untuk pelajar mendengar pengalaman sebenar daripada seorang alumni berjaya, malah turut memberi inspirasi dalam membentuk semangat kepimpinan dan ketahanan diri dalam menempuh cabaran masa depan. Semoga program ini memberi manfaat besar kepada semua warga ADTEC dan menjadi pemangkin semangat untuk melahirkan lebih ramai alumni hebat pada masa akan datang.

Skip to content