Pasir Gudang, 10 September 2025 – Bahagian Pengurusan Pelajar & Latihan (BPPL) ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Kampus Senai telah menganjurkan Majlis Peluncuran Kempen Kesedaran Anti Buli sebagai usaha memperkukuh kesedaran sivik dan membentuk persekitaran pembelajaran yang selamat, harmoni serta bebas daripada budaya buli.
Majlis ini turut menampilkan dua pengisian utama iaitu Tayangan Filem Pendek yang dihasilkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), menonjolkan mesej mendalam tentang kesan buruk buli serta pentingnya sikap saling menghormati dalam kalangan pelajar.
Seterusnya majlis diteruskan dengan ceramah bertajuk “Kami Anti Buli” yang disampaikan oleh Inspektor Seri Nurulhuda binti Nordin, Inspektor Cawangan Khas, IPD Seri Alam, yang memberi pendedahan mengenai implikasi buli dari aspek undang-undang, psikologi serta langkah pencegahan yang boleh diambil oleh semua pihak.
Pihak kampus dengan tegas menegaskan bahawa TIADA TOLERANSI terhadap sebarang bentuk buli, keganasan fizikal, mental, emosi mahupun siber. Setiap warga kampus bertanggungjawab untuk menolak amalan negatif ini dan bersama-sama memupuk budaya saling hormat-menghormati.
Dengan pelaksanaan kempen ini, diharapkan mesej kesedaran dapat disampaikan secara meluas dan menjadi pemangkin kepada pembentukan komuniti pelajar yang lebih prihatin, empati, serta proaktif dalam menentang isu buli.
“JTM Bebas Buli. Keselamatan dan Kesejahteraan Pelajar Keutamaan Kita.”
