Pasir Gudang, 10 September 2025 – Majlis Penutupan Program Semarak Bulan Kebangsaan 2025 Peringkat ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang & Kampus Senai telah berlangsung dengan penuh meriah di Dewan Kuliah Utama, Kampus Pasir Gudang serta di Dewan Sri Johor, Kampus Senai.
Program ini disertai oleh para pegawai, kakitangan serta pelajar ADTEC, dengan kehadiran penuh semangat patriotisme sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2025. Majlis bermula seawal jam 7.30 pagi dengan ketibaan pelajar kemudian disusuli warga kerja ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang Dan Kampus Senai. Majlis dimulakan pada jam 7.30 pagi dengan nyanyian lagu Bangsa Johor, Negaraku dan lagu rasmi JTM, diikuti dengan bacaan doa, bacaan Ikrar Rukun Negara, persembahan multimedia dan Artificial Intellegence (AI) yang disediakan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Maklumat (BPSM) serta deklamasi sajak.
Seterusnya, ucapan perasmian penutupan telah disempurnakan oleh YBrs. Ts. Eza binti Monzaid, Timbalan Pengarah Latihan, yang menekankan kepentingan menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan generasi muda serta mengekalkan perpaduan pelbagai kaum.
Majlis dilangsungkan lagi dengan penyampaian hadiah dan sijil kepada pelajar yang telah menyertai aktiviti dan pertandingan yang dijalankan sepanjang bulan kebangsaan ini.
Majlis diakhiri dengan sesi fotografi kenangan dan nyanyian lagu patriotik sebagai simbolik penutup sambutan.
Penganjuran Program Semarak Bulan Kebangsaan 2025 ini bukan sahaja meraikan semangat kemerdekaan, malah menjadi medium terbaik untuk memupuk nilai patriotisme, memperkukuh jati diri pelajar, serta meneguhkan iltizam warga ADTEC dalam mendukung aspirasi negara ke arah masyarakat yang sejahtera.
