Alhamdulillah, sepanjang 8 hingga 11 September 2025, Biro Kerohanian Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ADTEC JTM Pasir Gudang & Senai telah berjaya menganjurkan Al-Mustafa Week 2025 dengan penuh keberkatan dan sambutan yang sangat menggalakkan daripada warga kampus.
Program ini bertujuan untuk menyuburkan kecintaan terhadap Rasulullah ﷺ, di samping memberi ruang kepada pelajar untuk mendalami sirah Baginda, menghayati warisan Islam, serta memupuk semangat ukhuwah melalui aktiviti kerohanian.
Antara pengisian utama sepanjang program:
1. Penceritaan Sirah Rasulullah ﷺ
Mengupas kisah agung Baginda bermula dari awal kelahiran hingga diangkat sebagai Rasul. Disampaikan dengan penuh penghayatan, membawa pelajar lebih dekat mengenali perjalanan hidup junjungan mulia.
2. Pameran Gambar-Gambar Atsar Rasulullah ﷺ
Pameran visual yang memaparkan tinggalan sejarah, artifak dan suasana perjalanan dakwah Baginda.Memberi pengalaman mendalam serta kesedaran tentang perjuangan Rasulullah ﷺ dan para sahabat.
3. Soul Qasidah Night
Malam pengisian rohani melalui alunan qasidah dan selawat. Menghidupkan suasana penuh syahdu dan cinta kepada Rasulullah ﷺ.
4. Malam Tautan Ukhuwah Alumni
Alumni-alumni ADTEC kembali ke kampus bagi bertemu para pelajar. Mereka berkongsi pengalaman, memberikan motivasi, dan menyuntik semangat kecemerlangan. Menariknya, 5 daripada yang hadir ialah mantan Presiden MPP, yang kini berjaya dalam bidang masing-masing.
Program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara alumni dan pelajar, tetapi juga memberi inspirasi nyata bahawa graduan ADTEC mampu melakar kejayaan selepas menamatkan pengajian.
5. Penglibatan Istimewa Tetamu Luar
Program turut diserikan dengan kehadiran penghuni rumah anak-anak yatim dan asnaf Halo Prihatin Pasir Gudang. Mereka bersama-sama mengikuti pengisian, berkongsi kegembiraan dan merasai kehangatan ukhuwah bersama warga ADTEC.
Program diakhiri dengan jamuan mesra bubur lambok Ahmads Fried Chicken yang dimasak sendiri oleh rakan-rakan Surau ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang. Suasana kemeriahan jelas terasa apabila semua yang hadir dapat menikmati hidangan bersama dalam penuh rasa syukur dan kebersamaan.
Program Al-Mustafa Week 2025 bukan sahaja berjaya menyemarakkan cinta kepada Rasulullah ﷺ, malah telah mengeratkan ukhuwah warga kampus, alumni, dan masyarakat luar melalui pendekatan ilmu, seni, motivasi, kebajikan dan kerohanian. Semoga segala usaha ini menjadi amal jariah serta pembuka jalan untuk melahirkan generasi pelajar yang berakhlak mulia, berjiwa hamba, dan bersemangat waja.
