Sebagai usaha memperkukuh kualiti pelaksanaan latihan teknikal dan memperluas jalinan strategik antara institusi, satu lawatan penanda aras Program Penjaga Jentera Elektrik A4 Sepenuh Masa dan Diploma telah diadakan ke Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah, Melaka.
Lawatan ini disertai oleh seramai 3 orang pegawai daripada ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang iaitu diketuai oleh Timbalan Pengarah Latihan Ts. Eza binti Monzaid, Ketua Bahagian Penjaga Jentera Elektrik En Mohd Khairul bin Ramlan dan Pengajar Penjaga Jentera Elektrik En Mohd J Sen bin Alias. Tujuan utama lawatan ini adalah untuk mendapatkan pendedahan serta perkongsian amalan terbaik dalam pelaksanaan program latihan kemahiran berkaitan Penjaga Jentera Elektrik A4 serta program peringkat diploma yang dijalankan di IKTBN Alor Gajah.
Delegasi lawatan disambut mesra oleh Timbalan Pengarah Latihan IKTBN Alor Gajah, Ts. Mohd Amiruddin bin Tajudin, bersama barisan tenaga pengajar Jabatan Elektrik. Antara pengisian lawatan ialah taklimat mengenai struktur program, pelaksanaan latihan berasaskan industri, penggunaan fasiliti makmal elektrik berteknologi tinggi, serta sesi lawatan ke bengkel latihan Penjaga Jentera Elektrik.
Lawatan ini memberi peluang besar untuk memahami dengan lebih mendalam kaedah pelaksanaan kurikulum, sistem penilaian, serta pendekatan pembelajaran yang diamalkan oleh IKTBN Alor Gajah. Turut ditekankan bahawa hasil lawatan ini akan dijadikan asas penambahbaikan kepada program latihan agar selari dengan kehendak industri semasa.
Sementara itu, pihak IKTBN Alor Gajah turut menyambut baik inisiatif lawatan sebegini yang dilihat mampu mengukuhkan jaringan kerjasama antara institusi TVET di Malaysia. Ia juga membuka ruang kepada pertukaran idea dan kepakaran dalam bidang elektrik bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang kompeten serta berdaya saing.
Lawatan diakhiri dengan sesi fotografi sebagai tanda kenang-kenangan serta simbolik kepada jalinan kerjasama yang erat antara kedua-dua institusi.
