Senai, 6 Oktober 2025 – ADTEC JTM Kampus Senai telah menerima kunjungan hormat daripada wakil pengurusan INTAKE Jawahir dari Kumpulan Pendidikan Jawahir, sebuah institusi yang menjalankan program pengajian Tahfiz berteraskan TVET.
Kunjungan ini bertujuan mendapatkan khidmat nasihat mengenai laluan bagi memperoleh pensijilan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Pengajaran TVET (TVET-I) khusus untuk pengajar-pengajar baharu program Tahfiz di institusi tersebut. Selain itu, perbincangan turut menumpukan kepada pembangunan portfolio Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) bagi tahap 4 dalam bidang Architectural.
Pihak ADTEC diwakili oleh Ts Dr Hj Azli Amin bin Ahmad Raus, Pengarah ADTEC JTM Kampus Senai; Tn Hj Zuraidy bin Kadir, Timbalan Pengarah Operasi; dan Pn Norina binti Andang, Penolong Pengarah CESS. Manakala pihak INTAKE Jawahir diwakili oleh Ustaz Muhammad Fuad bin Abdul Ghafar, Ketua Sektor Tahfiz TVET, serta Ustaz Aiman, pengajar bahagian Architectural.
Perbincangan berjalan dengan mesra dan produktif, diikuti sesi lawatan sekitar kampus oleh tuan pengarah bagi memberi gambaran menyeluruh tentang kemudahan dan persekitaran pembelajaran di ADTEC.
Hasil daripada sesi tersebut, pihak ADTEC bersetuju membantu pembangunan portfolio PPT bagi pihak INTAKE Jawahir serta akan menganjurkan kursus Teknik Mengajar kepada pengajar-pengajar baharu program Tahfiz di institusi berkenaan. Selain itu, pihak ADTEC turut bercadang menjemput Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bagi memberikan taklimat mengenai TVET-I kepada kakitangan INTAKE Jawahir serta kakitangan ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai.
Kunjungan ini diharap dapat memperkukuh kerjasama strategik antara ADTEC JTM dan Kumpulan Pendidikan Jawahir dalam memperkasa ekosistem pendidikan Tahfiz berasaskan TVET di negara ini.
